Bagaimana Melayu, Cina bersahabat di Terengganu sejak abad ke-16

Lorenz Law menetap di Kuala Terengganu selama lebih 30 tahun dan merasakan keadaan tidak sama seperti dahulu kerana politik.

KUALA TERENGGANU: Dalam keadaan masyarakat yang dilihat masih lagi mempunyai jurang hubungan antara kaum, perkampungan Cina di Terengganu membuktikan orang Melayu dan Cina mempunyai hubungan yang sangat akrab sejak abad ke-16.

Perkara ini diceritakan oleh Lorenz Law yang sudah lebih 30 tahun menetap di Kampung Cina, penempatan utama masyarakat itu di ibu negeri.

Sepanjang berada di situ, Lorenz mengumpul pelbagai jenis maklumat mengenai sejarah perkampungan Cina di negeri Darul Iman.

“Segala-galanya bermula apabila batu nisan Choo Chee Woo ditemui di Bukit Datu dengan tahun kematiannya 1651, sekaligus membuktikan orang Cina sudah menetap di Terengganu ketika itu.

“Kebanyakan orang Cina berhijrah dari wilayah selatan China yang ketika itu dilanda kemiskinan dan akhirnya menetap di Kemboja, Thailand, Kelantan dan Terengganu untuk mencari tempat tinggal yang lebih baik,” katanya.

Kampung Cina atau Teng Lang Po di Jalan Bandar suatu ketika dulu hab aktiviti perdagangan yang membentuk Kuala Terengganu menjadi salah satu bandar utama di pantau timur Semenanjung.

Rata-rata orang Cina di situ berketurunan Hoklo dan bercakap dalam dialek Hokkien. Dalam beberapa tahun sahaja, mereka mula berasimilasi dengan orang Melayu.

“Catatan wakil Syarikat Hindia Timur Inggeris, Kapten Alexander Hamilton pada 1700 merekodkan Kampung Cina mempunyai 1,000 buah rumah dan separuh daripadanya merupakan orang Cina, maknanya separuh lagi merupakan orang Melayu.

Penduduk Cina Terengganu kelihatan rancak berbual di luar kedai runcit di Kampung Cina.

“Walaupun masyarakat Cina masih mengekalkan prinsip, budaya dan agamanya, mereka mula bertutur dalam bahasa Melayu loghat Terengganu dan ada antaranya memakai pakaian tradisional Melayu,” kata Lorenz.

Perpaduan Cina dan Melayu menghasilkan budaya Mek Awang yang unik, yang boleh dilihat pada bahasa, pakaian dan makanan.

Kuala Terengganu kemudian berkembang sebagai pusat perdagangan antarabangsa dan disebut dalam rekod-rekod kerajaan-kerajaan lama.

“Ketika itu, Kuala Terengganu merupakan pusat perdagangan antarabangsa yang dikunjungi oleh pedagang China, Eropah, India serta Arab, dan menjadi pusat eksport lada hitam, buah pinang, sarang burung dan emas,” katanya.

Namun disebabkan kepesatan Pulau Pinang, Melaka dan Singapura, pusat perdagangan Kuala Terengganu semakin kurang dikunjungi pedagang sehinggalah Perang Dunia Ke-2 berakhir.

Populasi juga berkurangan dan ramai yang berhijrah untuk mencari pekerjaan sehinggakan dianggarkan 3,000 penduduk Cina sahaja yang masih menetap di Terengganu.

Namun satu perkara yang tidak berubah adalah hubungan Melayu dan Cina di Terengganu.

Beberapa warga Cina Terengganu dilihat membeli barang masakan dengan orang Melayu di pasar pagi Kampung Cina.

“Kalau saya nak makan makanan Melayu, rakan-rakan Melayu akan tunjukkan yang mana kedai sedap, kalau rakan Melayu nak makan makanan Cina, saya akan tunjukkan kedai yang halal dan sedap, begitulah kehidupan kami di sini.

“Tetapi mungkin disebabkan politik yang sering memainkan isu perkauman, keadaan menjadi tidak sama seperti dahulu,” kata Lorenz.

Lorenz yang menjalankan perniagaan hotel di Kampung Cina cuma mengharapkan hubungan Melayu dan Cina dapat dikukuhkan kembali dan lebih erat pada masa akan datang.

“Di Terengganu orang Melayu dan Cina sering berkunjung di rumah masing-masing dan bersembang mengenai pelbagai perkara, hari-hari bertegur sapa, tinggal di tempat yang sama, kita tidak ada sebab untuk bergaduh,” katanya.