Sepanjang perayaan Tahun Baru Cina ini, amalan kunjung-mengunjung sanak-saudara dan rakan-rakan tidak kehabisan. Tuan rumah pula tidak putus-putus menghidangkan pelbagai jenis makanan kepada tetamu.

Seperti mana-mana perayaan lain, kita pasti akan rasa ‘berat’ badan dan bagi mereka yang menghidapi penyakit kronik tetapi tidak mengawal diet, berdepan pelbagai masalah selepas musim perayaan.

Semuanya kerana terlalu menjaga hati ‘tuan rumah’ atau tetamu sehingga tidak kawal pengambilan makanan serta terlalu letih sehingga kurang mendapat rehat mencukupi untuk tubuh badan.

FMT Ohsem mahu mengingatkan anda agar sentiasa sedar apa yang masuk ke dalam perut anda bersama 7 tip kesihatan sepanjang musim perayaan. Bagi mereka yang peka terhadap kesihatan dan berdepan isu kesihatan, kami cadangkan anda ikuti langkah ini:

1. Buat sasaran yang realistik

Anda mungkin berusaha untuk mencapai gol kesihatan tertentu, sama ada menurunkan berat badan atau sedang menjaga pola makan kerana penyakit kronik seperti diabetes.
Sekiranya anda dalam usaha menurunkan berat badan, agak sukar mengawal kalori pada musim perayaan berbanding hari biasa. Hidangan pada hari perayaan biasanya tinggi lemak, protein, dan karbohidrat.
Buat sementara waktu, ketepikan program penurunan berat tetapi lebih fokus kepada mengekalkan berat badan semasa. Jangan terlalu tegas pada diri, apatah lagi jika ia menyebabkan anda menolak pelbagai hidangan yang sudah dihidangkan oleh tuan rumah. Anda cuma perlu mengawal saiz hidangan dan elak makan sehingga terlalu kenyang.

2. Penuhkan pinggan dengan sayur

Ketika mengambil makanan, penuhkan dulu pinggan anda dengan sayur-sayuran. Ini kerana sayur-sayuran membantu anda cepat kenyang selain kandungan seratnya yang tinggi. Cepat kenyang tentu akan membantu mencegah anda makan berlebihan.
Pilih jenis sayur yang tidak bersantan, kecuali anda tiada pilihan lain.

3. Elakkan bahagian daging yang berlemak

Makanan yang biasa dihidangkan pada musim perayaan ialah pelbagai jenis daging, baik daging lembu, kambing, ayam dan sebagainya. Daging, terutamanya daging merah dan bagi Tahun Baru Cina, daging khinzir, mengandungi banyak lemak tepu yang tinggi. Meksipun pengambilan daging tidak dilarang sepenuhnya, namun ada beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk mengawal lemak yang terdapat dalam masakan daging.
Contohnya, jika anda makan ayam, anda boleh memilih bahagian dada berbanding paha atau sayap. Bahagian dada ayam biasanya lebih sedikit kandungan lemak. Selain itu, elak makan bahagian kulit ayam kerana lemak yang dimilki ayam biasanya tersimpan di kulitnya.

4. Berhati-hati dengan minuman manis, tinggi gula

Minuman berwarna-warni tentu menarik untuk dilihat. Sirap dan soda merupakan jenis minuman yang biasa disajikan pada musim perayaan. Namun kawal pengambilan. Satu sudu minuman sirap yang disediakan di rumah sahaja mengandungi 53 kalori yang hampir sama dengan karbohidrat.
Selain itu satu sudu sirap juga mengandungi 10 gram gula pasir. Tahun Baru Cina tak lengkap dengan minnuman oren bersoda tetapi ia adalah musuh sebenar anda.
Soda diet sekalipun menggunakan pemanis tiruan sebagai pengganti gula, jadi hadkan minuman tersebut untuk mencegah pertambahan kalori tanpa sedar.

5. Snek tidak sesuai untuk perut kosong

Membiarkan perut dalam keadaan kosong adalah helah yang boleh memudaratkan diri anda. Keadaan ini menyebabkan anda cenderung makan terlalu banyak dan makan snek yang tidak berkhasiat.
Selain itu, perut anda juga boleh dipenuhi angin (gas) yang menyebabkan ketidakselesaan semasa perayaan.
Jika mengambil snek, kekalkan diet yang seimbang termasuk serat, protein dan vitamin. Snek pada buah tangan (goodies) mungkin bukan pengganti makanan yang sesuai. Oleh itu, anda masih perlu memastikan untuk mendapatkan sayuran yang mencukupi dalam makanan anda.

6. Dapatkan tidur yang cukup

Perayaan Tahun Baru Cina kadang kala berlarutan hingga ke lewat malam. Keadaan ini boleh menyebabkan anda mengalami jumlah tidur yang tidak mencukupi. Jadi, cuba dapatkan tidur sebentar jika ada peluang bagi mengembalikan tubuh anda bertanaga.

7. Kekal terhidrasi

Pastikan diri anda terhidrasi pada setiap masa dan air adalah teman baik anda. Ada kalanya kerana terlalu penat, tubuh dan minda terkeliru antara rasa dahaga dan lapar. Fahami keperluan tubuh dan jangan silap. Pada kebanyakan masa, tubuh anda memerlukan air bagi membantu sistem pencernaan memproses makanan yang anda telah ambil semasa perayaan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]