David Shaw mengembara seluruh dunia cari rambut

David Shaw menyisir rambut palsu yang dibuat di bengkelnya.

KUALA LUMPUR: Sejak 5 tahun dulu David Shaw gigih mencari dan memilih tekstur rambut yang sesuai dan tepat untuk para pelanggannya, yang inginkan kemahiran beliau membuat rambut palsu bagi mengembalikan keyakinan diri.

Ditemui di bengkelnya di Sungai Besi, David berkata sebahagian daripada pelanggannya penghidap sakit kanser, yang mengalami keguguran rambut kerana rawatan kemoterapi.

David, yang terkesan dengan keadaan pelanggannya, gembira kemahirannya merangsang keyakinan mereka untuk berani keluar rumah dan bersosial.

“Ada banyak kes pelanggan seperti ini. Sebelum mereka datang, tahap keyakinan mereka sangat rendah,” katanya kepada FMT.

“Saya gembira dapat bantu sebab ada pesakit tak berani keluar rumah atau terpaksa pakai topi,” tambahnya.

David yang telah 23 tahun menceburi bidang dandanan rambut berkata sebilangan pelanggannya akan menghantar gambar gaya rambut mereka sebelum rawatan kemoterapi.

Antara rambut palsu yang telah siap untuk dijual.

“Kita cuba yang terbaik untuk dapatkan 80% serupa dengan gaya rambut itu. Selepas itu saya akan pilih tekstur rambut, misalnya orang India akan dapat rambut orang India dan orang Melayu akan dapat rambut orang Melayu,” katanya.

Beliau menjelaskan ketelitian itu penting bagi menunjukkan keaslian, tetapi sudah tentu pelanggan boleh memilih apa sahaja tekstur yang mereka inginkan.

“Contohnya rambut orang Cina lurus, dan kalau pelanggan sukakan gaya ‘street’, mereka boleh pilih rambut orang Cina,” katanya.

Mencari rambut asli bukan kerja mudah, kata David. Pembikin rambut palsu ini mendedahkan dia akan mengembara ke seluruh dunia untuk mendapatkan rambut asli yang diingini.

Katanya, negara-negara itu menjual rambut asli yang telah digunting. Beliau sebenarnya berharap ada orang sudi menjual rambut orang tempatan.

“Kalau anda nak buat rambut palsu untuk orang Melayu, anda kena pergi Indonesia. Saya kena keluar negara berbulan-bulan untuk mencari kilang dan rambut dari mana, serta bersih atau tidak,” katanya.

David Shaw gembira dapat membantu mengembalikan keyakinan pelanggannya.

Hasil kerja David dijual bermula pada harga lebih RM100 sehingga puluhan ribu ringgit, bergantung kepada pembuatan, fesyen dan panjang rambut.

Selain itu, David berkata selebriti tempatan juga menggunakan rambut palsunya untuk berkarya atau bergambar.

“Ada juga artis daripada Hong Kong dan model antarabangsa,” katanya.