Guan Eng persoal pihak banding kes Hadi-Brown dengan kes beliau dengan Nasrudin

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyambut ketibaabn Gabenor Pulau Pinang, Abdul Rahman Abbas ke rumah terbuka di Bayan Lepas hari ini.

GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini mempersoalkan pihak di media sosial yang membandingkan penyelesaian di luar mahkamah antara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan seorang wartawan British dengan kes yang melibatkan beliau dengan seorang pemimpin PAS 2 tahun lalu.

Lim menjelaskan kedua kes tersebut berbeza kerana Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan Tantawi yang disamannya kerana fitnah memohon maaf secara terbuka di mahkamah.

“Saya tidak tahu kenapa kes RM90 juta itu dibandingkan dengan kes saya dengan Nasrudin. Ia tidak sama.

“Saya pasti anda semua tahu saya menang kes tersebut dan kerana saya menang. Dia (Nasrudin) menyatakan kekesalan dalam mahkamah dan menarik balik kenyataannya. Saya terima RM10,000 untuk kos,” Lim memberitahu pemberita.

Terdahulu, beliau dan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang menjadi hos kepada 10,000 orang pada rumah terbuka Tahun Baru Cina di Pusat Konvensyen Setia Spice, di sini, yang menampilkan Gabenor Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas sebagai tetamu kehormat.

Wang “RM90 juta” yang disebut oleh Lim merupakan wang yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun pemimpin tertinggi PAS bagi menarik mereka menyokong Umno dan BN, menurut sebuah artikel yang diterbikan portal Sarawak Report milik Claire Rewcastle-Brown.

Hadi kemudiannya menyaman Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London berhubung dakwaannya itu. Pada 2 Feb lalu, Hadi bersetuju memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan wanita itu tanpa memaklumkan terma penyelesaian yang dipersetujui.

Hadi dikatakan bersetuju menarik balik tuntutannya selepas Claire menarik balik tuntutan balasnya.

Pada bulan Ogos 2014, Lim menyaman Nasrudin kerana didakwa membuat beberapa kenyataan fitnah berkaitan terowong bawah laut dalam tulisan berjudul “Apa Beza Kidex dan Penang Tunnel” di laman Facebook beliau.

Dalam catatannya, Nasrudin mempersoalkan mengapa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang ketika itu menjadi menteri besar Selangor dikecam berhubung dengan projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex), tetapi Lim tidak dikecam
dalam isu pembinaan terowong tersebut, yang menurut Nasrudin diberikan melalui rundingan terus.

Menurut Nasrudin, projek terowong bernilai RM4.63 bilion, dibiayai sepenuhnya oleh kerajan Pulau Pinang dan ditawarkan kepada Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd secara rundingan terus.

Penghakiman persetujuan dicapai pada 19 Jan di mana Lim membatalkan saman terhadap Nasrudin selepas beliau memohon maaf dan bersetuju menarik balik “kenyataan tidak berasas” terhadap Lim di Mahkamah Tinggi.