Jangan biar kepelbagaian kaum lemahkan rakyat, kata Tok Mat

Wee Ka Siong (2 dari kiri) dan Mohamad Hasan (2 dari kanan) menggaul yee sang pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina MCA hari ini.

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden yang menjalankan tugas Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini berkata kepelbagaian kaum di Malaysia adalah kekuatan dan mendesak semua kaum bergaul dan berhenti mencurigai antara satu sama lain.

Bercakap pada sambutan Tahun Baru Cina MCA, Mohamad berkata sistem pendidikan semasa tidak membenarkan golongan muda berinteraksi antara satu sama lain seperti yang diharapkan.

“Akhir-akhir ini, sistem sekolah kita terlalu terpisah. Mereka tidak mahu bercampur. Kita perlu menyingkirkan perasaan ini (ragu-ragu antara satu sama lain) jika kita mahu hidup harmoni,” katanya di Wisma MCA.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, juga meminta orang ramai supaya tidak menjadikan kepelbagaian kaum sebagai “kelemahan kita”.

Majlis Tahun Baru Cina MCA hari ini diadakan besar-besaran dengan tarian singa dan persembahan pentas yang dihadiri pemimpin Umno, presiden MIC SA Vigneswaran dan Ahli Parlimen MIC M Saravanan.

Ahli Parlimen Cameron Highlands yang baru dipilih Ramli Mohd Noor, bersama beberapa ahli Gerakan dan PPP turut hadir.

Presiden MCA yang juga Ahli Parlimen tunggal MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan ahli MCA lain mengalu-alukan hadirin di majlis itu.

Pemimpin Pakatan Harapan, yang dijemput oleh MCA, bagaimanapun tidak menghadiri rumah terbuka tersebut.

Akan letak calon diterima semua rakyat

Mohamad Hasan.

Mengenai pilihan raya kecil (PRK) Semenyih akan datang, Mohamad berkata Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon yang boleh diterima semua rakyat, bukan calon yang hanya diterima parti komponen BN.

“Ini semua mengenai ‘marketing’. Tidak ada gunanya meletakkan calon yang jangka hayatnya telah habis atau yang sedia untuk keluar parti.”

Tok Mat berkata calon itu harus saling melengkapi dan mengukuhkan parti itu.

Beliau berkata nama calon itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Kerusi Semenyih kosong selepas kematian Adun Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Januari akibat akibat serangan jantung.

Hari penamaan calon bagi PRK ialah pada 16 Feb dan pengundian pada 2 Mac.

Mohamad juga berkata setiap parti komponen BN mempunyai tanggungjawab untuk memperbaiki diri selepas kekalahan pada pilihan raya umum yang lalu.

“BN adalah gabungan lama. BN sedang bergerak ke hadapan tetapi sekarang kita mesti pastikan ia tidak merosot,” katanya.