Kerajaan akan perkenal polisi ‘cradle to grave’ bantu warga emas, wanita, kata TPM

Timbalan perdana menteri, Wan Azizah Wan Ismail.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan akan memperkenalkan satu polisi baru yang dinamakan “Cradle to Grave” bagi membantu golongan warga emas dan wanita.

Ini berikutan insiden 2 wanita warga emas maut, manakala 6 lagi pengsan dipercayai sesak nafas ketika berasak-asak mendapatkan kupon makanan percuma di ICC Pudu, 28 Jan lepas.

Timbalan perdana menteri bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai polisi yang akan diperkenalkan itu.

Beliau sebaliknya berkata, pihaknya memahami bahawa banyak badan bukan kerajaan (NGO) mahu membuat kebaikan terhadap golongan yang memerlukan.

“Tetapi NGO ini perlulah memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan, terutamanya yang melibatkan warga emas,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini hari ini.

Dilaporkan 2 wanita warga emas maut manakala 6 lagi pengsan dipercayai sesak nafas ketika berasak-asak mendapatkan kupon makanan percuma di ICC Pudu, di ibu negara.

Kejadian berlaku pada pukul 12.04 tengah hari semasa kedua-dua mangsa berusia 78 dan 85 tahun itu dipercayai cuba bersaing dengan hampir 1,000 orang bagi mendapatkan kupon makanan percuma tersebut.

Pemberian kupon dibuat sempena program amal tahunan Tahun Baru Cina oleh Gabungan Peniaga dan Penjaja ICC Pudu.

Mengulas mengenai kejadian terbabit, Wan Azizah, yang juga merupakan menteri pembangunan wanita, keluarga dan komuniti berkata, perkara yang terjadi itu adalah di luar kawalan pihaknya kerana ia dianjurkan oleh NGO.

Katanya, pihaknya hanya dapat mengetatkan cara bagaimana program bantuan kepada golongan yang memerlukan itu perlu dibuat.

“Apabila NGO bercadang mengadakan program sedemikian, mereka perlu mengambil kira perkara yang mungkin berlaku,” katanya.