Khairuddin: Ahli PAS tidak terliur pelawaan Mat Sabu sertai Amanah

Presiden Amanah, Mohamad Sabu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli dan pemimpin PAS tidak terliur untuk menyertai Amanah walaupun dipelawa Presidennya Mohamad Sabu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, ahli dan pemimpin parti itu tidak mudah termakan pujuk rayu rakan komponen Pakatan Harapan (PH) itu kerana parti kerajaan tersebut semakin tidak diyakini, khususnya oleh orang Melayu-Islam.

“Prestasi PH, termasuk Amanah sedang merudum. Mereka gagal menjadi kerajaan yang baik. Pelbagai kontroversi kenyataan menteri mereka menimbukkan kemarahan rakyat.

“Amanah bukan pilihan orang Melayu-Islam kerana mereka dilihat lebih menjaga kepentingan DAP. Apatah lagi ahli PAS yang dididik dengan aqidah dan keyakinan perjuangan Islam tidak akan terliur mengikut parti itu.

“Ini lebih-lebih lagi kerana ahli Parlimen mereka (Amanah) menang di kerusi majoriti bukan Islam dengan sokongan DAP,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu mengulas kenyataan Mohamad semalam yang mengajak ahli PAS yang kecewa dengan presiden parti itu, Datuk Seri bdul Hadi Awang supaya menyertai partinya dengan berkata sekarang adalah masa untuk ahli parti Islam itu bersatu dalam Amanah.

Beliau membuat pelawaan itu susulan keputusan Hadi menerima penyelesaian luar mahkamah dalam kes saman fitnah beliau terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang menyaksikan kedua-dua pihak menarik balik tuntutan masing-masing awal bulan ini.

Mohamad mendakwa rakan-rakannya dalam PAS tidak boleh menerima tindakan Hadi menarik balik samannya kerana yakin dengan penafian pimpinan tertinggi parti itu bahawa mereka tidak pernah menerima wang RM90 juta seperti yang didakwa oleh Claire.

“Keputusan PAS ini suatu detik penting kepada kepincangan berterusan dalam parti itu sejak 10 tahun lalu,” kata Mohamad dalam satu kenyataan semalam.

“Ia juga sekali gus mengesahkan wujud jalinan ‘hubungan gelap’ parti itu yang turut melibatkan unsur-unsur penerimaan wang.”

Artikel yang disiarkan Sarawak Report pada Ogos 2017 antara lain mendakwa dana berjumlah RM90 juta “dipercayai” dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik mereka supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).

Semalam bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan beliau pernah membayar RM90 juta kepada Hadi atau kepada PAS.

Beliau berkata, pihak berkuasa sekarang sudah membuat siasatan yang sangat teliti terhadap akaun peribadinya dan Umno sejak pilihan raya umum ke-14, iaitu hampir 9 bulan lalu.

“Jika ia (dakwaan Claire) benar, ada sebarang bayaran daripada saya ataupun Umno, sudah tentu kerajaan PH akan mengambil kesempatan untuk membeku akaun bank presiden PAS ataupun akaun PAS,” katanya.

Khairuddin menambah, sokongan orang Melayu-Islam kepada PAS dan Umno semakin kuat selepas kegagalan PH membela nasib masyarakat majoriti negara ini.

“Hari ini kerjasama strategik antara PAS dan Umno lebih menarik minat masyarakat Islam. Ahli PAS di peringkat bawahan sendiri sedang bergerak membina kerjasama itu bagi memastikan Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis dan Pahang khususnya, kekal tidak dikuasai PH,” katanya.