Pastinya ramai yang tidak tahu Kuala Lumpur pernah menjadi pusat utama pengeluaran daging mentah.

Hakikatnya, selain bijih timah yang memang tercatat dalam lipatan sejarah bandar raya ini, daging juga mempunyai peranannya sebagai pemangkin kegiatan ekonomi sokongan untuk tempoh 1890 hingga 1929.

Penyelidik Sejarah Kuala Lumpur Dr. Shapiza Sharif berkata, kapasiti penduduk Kuala Lumpur yang bertambah dari tahun ke tahun memberi kesan kepada permintaan terhadap makanan termasuk bekalan daging mentah.

“Pada 1891, jumlah penduduk Kuala Lumpur mencapai 19,021 orang dan bertambah sekitar 40.71% dengan jumlahnya mencecah 46,718 menjelang 1911.

“Jumlah itu terus meningkat kepada 80,424 pada 1921, lantaran menyebabkan terdapat pertambahan dalam permintaan terhadap daging mentah termasuk daging kerbau, lembu, kambing serta babi,” katanya kepada Bernama.

Pada peringkat awal, pihak British di Kuala Lumpur mendapatkan bekalan daging daripada Syarikat John Little yang merupakan pembekal utama dan popular di Singapura.

Permintaan tinggi

Bekalan daging mentah dibawa masuk sekali seminggu ke Kuala Lumpur melalui Pelabuhan Klang menggunakan kereta api.

“Beberapa isu timbul, antaranya adalah harga daging mentah melonjak tinggi di pasaran kerana kos yang tinggi, selain itu tahap kualiti daging juga dipersoalkan apabila sampai ke Kuala Lumpur.

“Justeru itu, Sanitary Board Kuala Lumpur (SBKL) memainkan peranannya dalam pengurusan daging mentah bagi memastikan pelbagai masalah yang timbul dapat ditangani,” katanya.

SBKL yang merupakan idea cetusan Residen British di Selangor, W.E Maxwell ditubuhkan sebagai sebuah Lembaga Khas pada 1890 sebagai usaha menguruskan bandar Kuala Lumpur yang berkembang pesat ketika itu. Kerajaan British tidak lagi dapat bergantung kepada pemimpin kelompok kecil masyarakat untuk menguruskan bandar yang serba kompleks.

Antara resolusi yang diambil oleh SBKL adalah memastikan keseimbangan antara permintaan dan penawaran, mengurangkan kebergantungan daging mentah luar dan tidak lagi dibenarkan diimport selepas tahun 1900.

“Keadaan ini membuka ruang prospek pengeluaran daging mentah seluas-luasnya di Kuala Lumpur memandangkan daging mentah mempunyai permintaan yang sangat tinggi meskipun harganya mula meningkat dari 24 sen sekati bagi daging lembu pada 1895 kepada 36 sen sekati pada 1924 dan melonjak sebanyak 8 sen menjadi 44 sen menjelang 1925.

“Bagaimanapun, SBKL mengambil beberapa pendekatan bagi memastikan peniaga daging mentah tidak mengambil kesempatan malah tidak berhak menentukan harga jualan daging,” katanya yang kini bertugas di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rumah penyembelihan berpusat

Antara impak utama akibat permintaan tinggi ke atas daging mentah adalah wujudnya rumah penyembelihan berpusat yang lebih moden dan sistematik dibina oleh SBKL untuk memudahkan proses pengeluaran dan pemasaran daging ke seluruh Selangor.

“Pada awalnya, sebanyak 6 rumah penyembelihan beroperasi di bawah kendalian SBKL iaitu di bandar Kuala Lumpur, Ampang, Sungai Besi, Salak Selatan, Kepong dan Setapak. Bagaimanapun, rumah penyembelihan ini hanya mampu menampung kapasiti antara 40 hingga 45 ekor sembelihan sehari berbanding permintaan di pasaran adalah 60 hingga 65 ekor sehari.

“Bagi menangani masalah tersebut, SBKL membina pusat penyembelihan yang lebih besar dengan lokasinya bertumpu di Pudoh (Pudu), High Street (Jalan Tun H.S.Lee) dan Petaling Street (Jalan Petaling) manakala salah sebuah pusat penyembelihan kerbau terletak di Ampang,” katanya.

Di samping itu, beberapa peraturan turut diperkenalkan SBKL di bawah “Law Relating To Slaughter Houses” yang dikuatkuasakan bermula 5 Okt 1895 di mana pengusaha rumah penyembelihan perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas premis tersebut.

Dua perkara utama yang dititiberatkan adalah kebersihan di mana kemudahan air perlu disediakan di rumah penyembelihan agar semua sisa dalam bentuk cecair dan kotoran yang terhasil ketika proses penyembelihan mudah dibersihkan.

“Pengusaha premis penyembelihan juga perlu mengalihkan semua haiwan ternakan yang disembelih dalam tempoh 3 jam.

“Di sini, kita dapat melihat satu kerjaya diwujudkan iaitu Inspektor Kesihatan yang ditugaskan melakukan pemeriksaan bagi memastikan tahap kebersihan premis tersebut berada pada tahap optimum,” jelasnya.

Upah sembelih lumayan

Lebih menarik, aktiviti pemerdagangan daging mentah ini juga menyaksikan penyembelih haiwan ternakan mula mendapat upah lumayan di mana dalam laporan tahunan SBKL 1897, kadar upah menyembelih di Kuala Lumpur yang ditentukan oleh saiz dan jenis ternakan adalah $1 bagi seekor babi, manakala bagi kerbau pula $2 seekor.

“Bagi kambing dan kambing biri-biri pula, penyembelih mendapat upah sehingga 25 sen seekor,” katanya.

Antara keperluan utama dalam mengendalikan daging mentah adalah tempat membekukan daging. Ini bagi mengelakkan pembiakan bakteria Sonne Bacillus yang menyebabkan penyakit disentri serta bakteria Staphylococcus Salmonela, Clostridium Welchii dan Clostridium Botulinumyang menyebabkan diarea atau cirit-birit. Penularan bakteria merupakan antara penyebab kematian yang tinggi di Kuala Lumpur ketika itu.

(Disenteri adalah jangkitan bakteria atau ameba terhadap usus yang menyebabkan cirit-birit berdarah atau mucus manakala diarea pula adalah penyakit buang air besar (najis cair) yang terlalu kerap, cirit-birit.)

“Pada peringkat awal, teknologi pendinginan yang ada di Kuala Lumpur masih primitif dan pengawasan teliti di pusat-pusat penyembelihan tidak cukup mengurangkan risiko keracunan makanan.

“Dalam konteks ini, ais berfungsi mengurangkan risiko pembiakan bakteria dan untuk mendapatkan ais tidak menjadi masalah kerana terdapat dua buah kilang pembekal ais di Kuala Lumpur,” jelas beliau.

Tempat sejuk beku

Situasi itu berubah apabila tempat sejuk beku pertama diletakkan di Old Market Square (Medan Pasar berhampiran Pasar Seni) dan menjelang 1909, kebanyakan rumah penyembelihan memiliki tempat sejuk beku sendiri.

“Kita juga dapat lihat, kadar penyembelihan haiwan ternakan yang melebihi had pada 1911 menyebabkan SBKL memutuskan membina sembilan buah rumah kedai dan bangunan sebagai tempat sejuk beku di Mc Arthur Street (kini tiada lagi).

“Landskap ekonomi di Kuala Lumpur boleh dikatakan berubah sepenuhnya pada 1929 apabila premis sejuk beku di buka di Central Market (Pasar Seni) dan seterusnya memacu pengeluaran daging mentah sebagai kegiatan ekonomi sokongan di Kuala Lumpur,” katanya.

Ini menyaksikan pengeluaran daging mentah bukan saja bagi pasaran domestik malah dieksport ke Singapura dan menyaksikan era pengeluaran daging mentah diusahakan secara komersial dan sistematik di Kuala Lumpur.

Kepesatan ekonomi yang berpunca dari pengeluaran daging mentah ini juga menyaksikan lebih banyak pasar wujud di sekitar Kuala Lumpur.

Pertambahannya sangat signifikan di mana pada 1890, bilangan pasar di Kuala Lumpur hanya sebanyak tiga buah dan jumlahnya meningkat kepada lapan pasar pada 1914 seperti di Pasar Besar (Pasar Seni), Pasar Pudoh (Pudu), Pasar Batu Road (Jalan Tuanku Abdul Rahman), Pasar Ampang, Pasar Setapak, Pasar Sungai Besi, Pasar Sentul dan Pasar Kepong.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected].com