KPM: Pelajar ‘Hindu’ diajar pendidikan moral, bukan agama Islam

Menurut KPM, langkah sekolah membenarkan pelajar terbabit mengikut kelas Pendidikan Moral adalah berdasarkan ‘maklumat’ yang diberikan bapanya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan laporan sebuah portal berita kononnya seorang pelajar “Hindu” dipaksa belajar subjek Pendidikan Islam di sekolah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Amin Senin sebaliknya menjelaskan pelajar terbabit hanya diajar subjek Pendidikan Moral sejak 2017.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin menjelaskan bahawa pihak sekolah tidak pernah memaksa murid yang terbabit mengikuti Pendidikan Islam sebagaimana dilaporkan oleh portal dan beberapa media yang lain.

“Semakan KPM mendapati murid terbabit telah mengikuti subjek Pendidikan Moral sejak dia memulakan alam persekolahan pada tahun 2017. Pada tahun semasa 2019 ini, murid tersebut yang kini berada di tahun 3 juga sedang mengikuti subjek Pendidikan Moral,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amin berkata, langkah pihak sekolah membenarkan pelajar terbabit mengikut kelas Pendidikan Moral adalah berdasarkan maklumat yang diberikan bapanya tanpa mengemukakan sijil kelahiran murid itu.

“Berdasarkan maklumat awal yang diberikan oleh bapanya, pihak sekolah menganggap murid berkenaan seorang yang beragama Hindu dan atas kategori tersebut, dia dibolehkan mengikuti kelas Pendidikan Moral.

“Sehingga kini ibu bapanya tidak menyerahkan salinan sijil kelahiran kepada pihak sekolah sebagaimana disyaratkan dalam kelulusan Jabatan Pendidikan Negeri pada tahun 2017,” katanya.

Terdahulu seorang pemandu Grab, P Manivanan, 50 tahun mendakwa anak perempuannya yang beragama “Hindu” dipaksa mengikuti mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah.

Katanya, ini berlaku kerana usaha isterinya dan ibu kepada anak perempuan itu untuk keluar daripada agama Islam masih dalam proses rayuan di mahkamah.

Sehubungan itu, Manivanan meminta Kementerian Pendidikan campur tangan bagi menyelesaikan masalah yang melibatkan anak perempuannya yang berusia 9 tahun itu, M Luganeshvari.

Manivanan memberitahu sebuah portal berita bahawa isterinya, Paramaswari, dilahirkan beragama Hindu sebelum memeluk Islam apabila kedua ibu bapanya berbuat demikian ketika dia berusia 3 tahun dan diberi nama Siti Fatimah Paramaswari.

Dalam perkembangan sama Amin berkata, semakan terperinci menunjukan murid tersebut didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara sebagai beragama Islam dengan ibunya beragama Islam.

“KPM ingin memaklumkan bahawa di bawah Akta Pendidikan 1996 setiap murid beragama Islam perlu mengikuti Pendidikan Islam yang merupakan subjek teras di bawah Kurikulum Kebangsaan bagi kanak-kanak beragama Islam.

“Mana-mana murid yang beragama Islam berhak mendapat Pendidikan Islam sama ada di sekolah kerajaan, bantuan kerajaan mahu pun di mana-mana sekolah swasta di Malaysia.

“Pihak sekolah pula mematuhi perkara ini berdasarkan bukti murid terbabit adalah seorang murid yang beragama Islam.

KPM memahami situasi yang dihadapi oleh ibu bapa murid terbabit, namun memandangkan kes status agama ibu murid terbabit masih dalam proses rayuan di mahkamah, maka kementerian akan menyerahkan isu itu kepada keputusan mahkamah,” katanya.