Penduduk Semenyih mahu pekan berwajah baru

Pekan Semenyih dikhabarkan pernah menjadi lokasi perarakan anti-komunis pada 1953.

KAJANG: Pekan Semenyih merupakan salah satu lokasi di mana penduduk sekitar DUN Semenyih mendapatkan barang keperluan harian.

Pekan yang tidak jauh dari Bukit Broga, tempat rekreasi pendakian itu dikhabarkan pernah menjadi lokasi perarakan anti-komunis pada 1953.

Pekan yang telah lama berbakti kepada penduduk di sekitar DUN Semenyih itu kini menarik tumpuan orang politik dan rakyat seluruh negara kerana menjadi tempat pilihan raya kecil (PRK) Semenyih yang akan berlangsung pada 2 Mac ini.

Tinjauan FMT terhadap penduduk dan peniaga yang merupakan pengundi di sini, menunjukkan mereka rata-rata mahukan wajah baru kepada Semenyih dari segi pengangkutan awam, perniagaan barang basah dan jambatan yang terletak di tengah-tengah pekan itu.

Terminal bas yang dibina di pekan itu tidak digunakan.
Mohd Muhyiddin Hamid.

Seorang penjaja yang ditemui, Mohd Muhyiddin Hamid, 54, berkata penduduk mahu wakil rakyat yang kerap turun padang berjumpa rakyat dan mendengar luahan mereka.

Muhyiddin sendiri mahu sebuah bangunan 2 tingkat dibina untuk penjaja.

“Pasar yang menjual barang-barang basah di sini perlu ditambah baik seperti dibina bangunan 2 tingkat agar mereka yang menjaja di tepi jalan ini seperti saya dapat berniaga di dalam bangunan.

“Jika dibina bangunan untuk pasar seperti Pasar Taman Tun Dr Ismail, ia akan memudahkan penduduk membeli barang keperluan dengan lebih selesa,” katanya.

Tambahnya, adalah amat berbahaya kepada penjaja menjual di tepi jalan kerana ia boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini seperti dilanggar kenderaan.

Jambatan pekan Semenyih dijangka siap pada Jun tahun ini.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai James, 50, pula menggesa pihak berwajib mempercepatkan pembinaan jambatan di tengah-tengah pekan tersebut.

Kalau mengikut jadual, ia dijangka siap pada Jun ini.

“Saya mohon pihak berkuasa percepatkan pembinaan jambatan ini untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas,” katanya.

Dia turut menggesa agar pengangkutan awam, terutama bas di perbaiki, memandangkan terminal bas yang dibina di kawasan ini masih tidak digunakan.

“Pada mulanya ada bas masuk selepas terminal bas ini dibina tetapi hari ini ia menjadi ‘gajah putih’,” katanya.

Manakala, S Subramaniam, 68, berharap pihak berkuasa bertindak mengatasi kesesakan lalu lintas di pekan tersebut.

S Subramaniam.

“Pekan ini juga tidak ada tempat meletak kenderaan yang cukup. Jadi ramai yang letak kereta mereka di merata-rata tempat,” katanya.

PRK DUN Semenyih diadakan berikutan kematian penyandang, Bakhtiar Mohd Nor, 57, daripada PPBM. Beliau meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.