Pengkritik Islam Belanda akhirnya tukar agama

Joram Van Klaveren (sumber Getty Image)

PETALING JAYA: Seorang bekas ahli politik Geert Wilders, parti haluan kanan Belanda yang kuat mengkritik Islam kini mengumumkan telah memeluk Islam, lapor portal Politico.

Joram Van Klaveren berkata dia menukar agama ketika menulis buku mengenai Islam.

“Ketika menulis saya menemui banyak perkara yang membuat pandangan saya mengenai Islam goyah,” katanya dipetik sebagai berkata.

Van Klaveren adalah ahli Parlimen bagi Freedom Party (PVV) dari 2010 hingga 2014, tetapi meninggalkan parti itu selepas Wilders dalam satu perhimpunan pada 2014 yang menyeru penyokong memusuhi warga Maghribi di Belanda.

Selepas meninggalkan PVV, Van Klaveren menubuhkan parti sendiri, For Netherlands, tetapi gagal memenangi kerusi dalam pilihan raya pada 2017. Dia kemudian bersara daripada dunia politik.

Van Klaveren adalah pengkritik Islam yang keras ketika itu dengan mendakwa “Islam adalah pembohongan” dan “Al-Quran adalah racun”.

Dalam wawancara akhbar NRC, Van Klaveren mendakwa dasar PVV adalah segala yang salah harus dikaitkan dengan Islam dengan apa-apa cara sekalipun.