Pesara imigresen dakwa MyEG jadi ‘lubuk duit’ ahli politik BN

Khidmat MyEG mempunyai banyak kelemahan dan dilihat bertindih dengan tugas Jabatan Imigresen.

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menghentikan pengambilan pekerja asing melalui MyEG Services Berhad yang didakwa tidak telus dan pernah menjadi “lubuk wang” beberapa ahli politik kerajaan terdahulu.

Bekas presiden Persatuan Bekas Kakitangan Imigresen Malaysia (PBKIM), Che Hassan Che Johan berkata, khidmat MyEG mempunyai banyak kelemahan dan dilihat bertindih dengan tugas Jabatan Imigresen.

“Ini belum lagi mengambil kira risiko pembocoran maklumat imigresen yang boleh mengancam keselamatan serta kedaulatan negara.

“Mengapa tugas pembaharuan pas lawatan kerja sementara (PLKS) dan pembersihan PATI mesti diberikan kepada syarikat swasta dan tidak boleh dikendalikan oleh Jabatan Imigresen sendiri? Rakyat pula terpaksa membayar sehingga 2 kali, sekali kepada Jabatan Imigresen dan sekali lagi kepada MyEG,” katanya kepada FMT.

Che Hassan berkata, kerajaan terdahulu membiarkan MyEG memonopoli pasaran kemasukan pekerja asing.

“Yang lebih menyedihkan adalah menteri dan kerajaan terdahulu menolak tanggungjawab ini kepada syarikat swasta secara monopoli sehingga mereka mengaut keuntungan jutaan ringgit setahun.

Che Hassan Che Johan

“Kerajaan pula tidak mendapat keuntungan yang sepatutnya, sebaliknya ia diperoleh sekumpulan pemimpin politik kerajaan dahulu, oleh yang demikian kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Katanya, MyEG juga mengenakan caj berlebihan untuk melanjutkan PLKS, sedangkan pegawai imigresen sepatutnya berkuasa meluluskan permit pekerja asing.

“Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pasport 1966 menjelaskan hanya pegawai imigresen berkuasa menerima permohonan, memproses, menampal pelekat sebarang pas dan permit serta mengutip bayaran proses atau levi daripada warga asing.

“Kerajaan perlu kembalikan kerja hakiki Jabatan Imigresen yang telah lama diswastakan kepada vendor yang tidak sepatutnya menjalankan kerja-kerja melibatkan aspek keselamatan negara,” katanya.

Malah, katanya, Jabatan Imigresen sendiri sudah berjaya membangunkan sistem pengambilan pekerja asing.

“Hal ini dapat dibuktikan dengan pembangunan sistem imigresen seperti MyOnline Pasport dan Sistem Maid Online.”

Setakat ini 2 vendor diambil tindakan iaitu Sistem Pengambilan Pekerja Asing (SPPA) dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang menjalankan sistem permohonan visa atas talian dan dimonopoli oleh kerajaan terdahulu.

Minggu lepas, MyEG diarah membayar RM9 juta setelah menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan mengenakan syarat yang berbeza dalam urus niaga yang setara dengan pembelian insuran mandatori untuk pembaharuan PLKS bagi pekerja asing.