Selepas Pulau Kukup, satu lagi paya bakau terancam?

Menurut sumber, padang golf dan hotel menceroboh ke kawasan tanah lembap dan hutan simpan paya bakau di Sungai Pulai (gambar Facebook Wellness Resort Sungai Pulai)

PETALING JAYA: Beberapa aktivis memberi amaran tentang ancaman ke atas kawasan hutan simpan Sungai Pulai di Gelang Patah, Johor, berikutan pembukaan padang golf dan hotel oleh sebuah syarikat asing.

Sumber yang rapat dengan isu itu memberitahu FMT, projek yang dibuka kepada umum hujung tahun lalu yang bernilai hampir RM2 bilion itu, menceroboh ke kawasan Ramsar di Sungai Pulai.

FMT tidak mendedahkan nama syarikat tersebut kerana ia enggan membuat kenyataan umum mengenai perkara berkenaan.

Isu ini ditimbulkan susulan kontroversi Pulau Kukup di Pontian, Johor, yang membimbangkan pencinta alam semula jadi dan ahli politik selepas pulau itu dibatalkan sebagai taman negara.

Peta menunjukkan sebahagian kawasan Majlis Bandaran Iskandar Puteri dan Sungai Pulai. Padang golf dan resort berada di utara kawasan merah di tengah-tengah peta. (Gambar paparan skrin pelan majlis daerah Johor Bahru dan Kulai 2025)

Seperti Pulau Kukup, Sungai Pulai adalah kawasan paya bakau. Semua paya bakau dilindungi sebagai hutan simpan di bawah undang-undang yang diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor.

Kawasan paya bakau seluas 9.216 hektar itu menjamin keseimbangan sosioekonomi kepada masyarakat nelayan berdekatan dan membantu melindungi persisiran pantai dan mengelak banjir.

Pada Januari 2003, Sungai Pulai disenaraikan sebagai “tanah lembap antarabangsa yang penting” di bawah Konvensyen Ramsar 1971. Ia turut menyenaraikan Pulau Kukup dan lima tanah lembap lagi sebagai tapak Ramsar.

Bagaimanapun, satu sumber yang tidak mahu dikenali mendakwa peta Sungai Pulai menunjukkan sebahagian tanahnya dibatalkan rizab untuk memberi laluan kepada projek berkenaan.

“Kalau tidak diwartakan, ada sesuatu yang tidak kena kerana anda tak boleh wujudkan padang golf dalam kawasan hutan simpan,” katanya.

Perbandingan dibuat antara Sungai Pulai dalam laman web Taman Negara Johor dan Google Earth yang dikemaskinikan pada 2 Oktober 2018 menunjukkan padang golf dan hotel tersebut terletak atas tapak Ramsar.

Sementara itu, pelan majlis daerah Johor Bahru dan Kulai 2025 menyatakan sebahagian Sungai Pulai di mana projek itu dilaksanakan masih di kawasan hutan simpan, yang bermakna tiada pembangunan boleh dilakukan di situ.

Kawasan Sungai Pulai dengan hutan simpan payau bakau dalam warna kuning dan tapak Ramsar di Sungai Pulai dalam warna biru (gambar sumber)

Pelan majlis daerah itu adalah intepretasi terperinci daripada pelan struktur negeri, di bawah majlis tempatan. Simpang Pulai di bawah Majlis Bandaran Iskandar Puteri.

FMT cuba menghubungi majlis bandaran tersebut, pemaju projek, Jabatan Perhutanan Negeri Johor, pejabat sekretariat Ramsar dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bagi mendapatkan komen.

Syarikat di sebalik projek itu juga tidak disenaraikan dalam pelan tempatan untuk aktiviti pelancongan daerah itu yang dilihat oleh FMT.

Sebelum ini, The Diplomat melaporkan pembinaan secara tergesa-gesa oleh syarikat tersebut dan kontraktornya mungkin mendatangkan akibat terhadap ekosistem di Sungai Pulai.

The Diplomat juga menyebut tindakan melepaskan kawasan itu daripada rizab untuk tujuan persendirian sudah menjadi berita biasa di kawasan tersebut, menyebabkan lebih banyak kawasan paya bakau musnah.

Katanya, pemaju menyambung jalan raya ke laut yang kini merentasi kawasan yang boleh mengubah arus dan mengancam ekosistem biodiversiti.

Satu lagi sumber mendakwa mengetahui perkara yang sama dan menambah projek tersebut “dibatalkan” sebelum dilancarkan tahun lalu.

Bagaimanapun, hotel dan padang golf tersebut beroperasi sehingga kini.

Berikutan laporan media mengenai pembatalan rizab Pulau Kukup oleh kerajaan Johor, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan ia akan jadi tanah kesultanan bagi melindunginya.

Ketika ini, langkah tersebut mencetuskan kritikan hebat menteri Pakatan Harapan, pencinta alam semula lagi dan juga aktivis hingga menimbulkan pertelingkahan dengan Tunku Ismail dan kerajaan persekutuan yang baru itu.