SPRM tak perlu tunggu aduan untuk siasat kes RM90 juta, kata Pemuda Amanah

Timbalan ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pemuda Amanah hari ini berkata Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu menunggu aduan dibuat bagi memulakan siasatan berhubung dakwaan wang sebanyak RM90 juta dibayar kepada pimpinan tertinggi PAS.

Timbalan ketua Pemuda parti itu, Faiz Fadzil berkata, Seksyen 29 (3) Akta SPRM 2009 membolehkan agensi anti-rasuah itu menyiasat sesuatu maklumat berkaitan perlakuan rasuah tanpa adanya aduan bertulis.

Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir itu berkata, media mendedahkan secara meluas kes saman fitnah presiden PAS terhadap editor Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown.

“Claire mendedahkan fakta (kes) dalam penyataan pembelaannya, yang merupakan dokumen awam yang boleh diakses.

“Dokumen tersebut boleh dijadikan asas siasatan kerana fakta yang didedahkan membangkitkan syak berlakuknya perlakuan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan.

Isnin lepas, SPRM dilaporkan berkata, ia tidak boleh memulakan siasatan kerana tidak ada aduan dibuat.

Malam tadi, wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin berkata, misteri berkaitan wang yang didakwa dibayar kepada pemimpin parti Islam itu sepatutya disiasat oleh pihak berkuasa, susulan penyelesaian luar mahkamah yang dipersetujui antara Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang dengan Claire Rewcastle Brown, 1 Feb lepas.

Penasihat media dan komunikasi kepada perdana menteri itu berkata, benar atau tidaknya dakwaan yang dibuat oleh Claire dalam artikel beliau yang diterbitkan pada 2017 hanya akan diketahui sekiranya polis dan SPRM menyiasat kes tersebut.

Claire dalam artikelnya yang diterbitkan oleh portal Sarawak Report antara lain mendakwa pimpinan tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Hadi kemudiannya memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di London. Minggu lepas dilaporkan ahli Parlimen Marang itu bersetuju memuktamadkan penyelesaian dengan Claire Rewcastle Brown.

Terma penyelesaian terbabit tidak didedahkan.

Pemimpin PAS berkata, keputusan menerima penyelesaian di luar mahkamah dengan Claire adalah disebabkan kos guaman yang terlalu tinggi, dengan menambah wang berjumlah berjuta-juta itu boleh digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat.

Najib juga menafikan memberikan wang kepada pemimpin PAS dengan berkata, akaun bank beliau telah pun disiasat oleh pihak berkuasa selepas kalah dalam pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas.

“Jika ia (dakwaan Claire) benar, ada sebarang bayaran daripada saya ataupun Umno, sudah tentu kerajaan PH akan mengambil kesempatan untuk membeku akaun bank presiden PAS ataupun akaun PAS,” katanya.