Tilikan Feng Shui menjadi antara perkara yang ditunggu-tunggu setiap kali tibanya sambutan Tahun Baru Cina. Pada waktu inilah setiap orang sibuk memeriksa ‘nasib’ mereka yang dipadankan dengan tahun kelahiran daripada 12 binatang berbeza mengikut kalender lunar.

Bermula dari tahun babi untuk pusingan tahun ini, zodiak binatang yang lain ialah tikus, kerbau, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing biri-biri, monyet, ayam jantan dan anjing.

Kalau nak lebih teliti setiap haiwan ini juga membawa elemen masing-masing seperti elemen kayu, api, tanah, logam dan air di mana ia memberi pengkhususan yang lebih mendalam mengenai sesuatu zodiak.

FMT Ohsem berpeluang menemuduga seorang pakar Feng Shui, Master Chen Hoo Boon dari Balakong yang memberi ramalan kasar mengenai tahun baru Cina ini iaitu tahun babi.

Sebelum membuka bicara secara lanjut, beliau yang mengambil kira konteks Malaysia akui rakyat negara kita harus bersedia berdepan cabaran dan halangan namun boleh diatasi jika bertindak bijak dan lebih berjaga-jaga dalam setiap urusan.

“Tahun Baru Cina kali ini melambangkan zodiak babi elemen tanah yang tidak membawa banyak ‘kedatangan’ dan lebih kepada rintangan menyebabkan kemungkinan berdepan masalah,” katanya kepada FMT Ohsem.

Master Chen Hoo Boon

Ini disebabkan pergolakan dan pertembungan antara elemen tanah dan tenaga menyebabkan kebanyakan industri tidak dapat berkembang seperti yang dirancang. Ini juga bermakna rakyat perlu lebih berhati-hati dalam mengambil keputusan,” katanya.

Ia juga katanya, jelas terpacar apabila ekonomi ‘berjalan’ sedikit perlahan sepanjang tahun ini dan projek besar tidak pasti diteruskan atau tidak.

Bagaimanapun Chen berkata keadaan ini akan menekan pemain industri menjadi lebih kreatif dan menggunakan kos yang rendah sebelum meningkat kepada yang lebih besar.

“Begitu juga dalam bidang perladangan agak mencabar kerana cuaca yang tidak stabil selain serangan serangga,” ujarnya.

Semua ini menurut Chen akan mengakibatkan ketidakseimbangan emosi dan seseorang menjadi lebih sensitif. Oleh beliau meminta supaya semua orang mengawal perasaan kerana semua keadaan ini akan selesai jika dikendalikan secara bijak.

Misalnya, dari sektor hartanah, penurunan harga boleh digunakan dengan sebaiknya untuk melabur.

“Pelaburan ini pasti akan beri pulangan besar kelak. Sama juga dengan sektor lain yang mempunyai elemen pelaburan dan penjimatan. Cuma kena banyak bersabar dan tidak terlalu mengikut emosi,” tambah beliau.

Dalam pada itu Chen juga secara rawak berkongsi beberapa sifat yang menterjemah setiap zodiak binatang. Turut disertakan tilikan daripada portal Chinese Fortune Calender untuk tahun baru lunar Cina ini.

Kalau anda merupakan salah satu daripada tahun kelahiran yang dinyatakan di bawah, mungkin boleh ambil sebagai panduan atau bahan bacaan sekadar suka-suka.

Tahun Babi

Menunjukan seseorang yang pintar, berani, jujur, sangat sopan dan gagah. Mereka yang lahir tahun ini merupakan seorang yang bersikap toleransi, tenang, dan optimis. Mereka benci terhadap konflik, pemilik zodiak ini tidak mudah berbohong. Namun mereka ini kadang-kala merupakan individu yang gelabah.
Tahun ini merupakan tahun yang memberi keseimbangan dan waktu untuk membetulkan kesilapan.
Mereka yang lahir pada tahun ini harus mendengar kepada nasihat orang lain dan memahami perasaan orang lain untuk memenangi hati mereka. Untuk kesejahteraan hidup, mereka perlu mencari teman atau rakan dan bukan pesaing atau musuh.

Personaliti yang lahir tahun babi
Datuk Seri Anwar Ibrahim (10 Ogos 1947)
Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (27 Ogos 1947)

Tahun Monyet

Personaliti yang lahir tahun monyet merupakan seorang yang bijak dan memiliki daya tarikan tersendiri. Tahun ini adalah tahun yang paling bahagia kerana anda baru mencapai apa yang anda idamkan selama ini. Bagaimanapun di hujung tahun ini, anda akan berdepan sedikit masalah. Kadangkala ada masanya anda berpura-pura dan tidak memberi sebarang bantuan, namun keceriaan anda mampu meredakan tekanan orang lain.
Pelaburan kewangan harus bersifat konservatif dan berhati-hati. Belajar dari masa ke masa dan tunggu untuk peluang yang terbaik, jangan tergesa-gesa dalam mengeluarkan kata-kata atau membuat keputusan.

Personaliti yang lahir tahun monyet
Syed Saddiq Abdul Rahman (6 Disember 1992)

Tahun Naga

Mereka yang lahir pada tahun naga merupakan seseorang yang cerdas, mempunyai keyakinan tinggi terhadap kemampuannya. Tahun ini merupakan tahun yang menenangkan anda selepas beberapa berhempas pulas untuk mencari kebahagiaan. Kekuatan mental dan sentiasa bersikap positif adalah kelebihan diri. Memiliki tenaga yang luar biasa dalam melaksanakan tanggungjawab. Kelebihan ini menyebabkan ada waktunya diri anda dijauhi rakan kerana mentafsir anda sebagai penakluk.
Mereka yang lahir tahun ini juga lincah, pandai, bertenaga dan mudah tertarik pada sesuatu. Namun, mereka kadang-kala memiliki kepala angin tersendiri dan tidak sabar kerana terlalu yakin dengan keputusan yang diambil. Hati-hati dengan keselamatan khususnya ketika di puncak kerjaya.

Personaliti yang lahir tahun naga
Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (3 Disember 1952)
Thommy Thomas (1952)
Datuk Seri Mohamad Azmin Ali (25 Ogos 1964)

Tahun Ular

Mereka yang lahir tahun ini diramalkan menjalani hidup dengan tenang dan damai. Mereka merupakan inddividu yang mudah mesra, cergas dan petah dalam setiap patah perkataan, setiap tindakan diawasi teliti, terancang dan penuh berhemah. Anda sebenarnya layak menjadi ketua yang baik cuma ada ketikanya sifat terlalu yakin dengan kebolehan diri menyebabkan anda kecundang.
Seorang yang sangat mempesona dan berkebolehan dalam berkomunikasi walaupun dalam masa pendek namun anda mampu membuat orang sekeliling ‘jatuh cinta’.
Bagaimanapun hati-hati, anda mungkin tertekan dan jatuh sakit kerana itu. Gunakan kecekapan anda untuk mencari penyelesaian.

Personaliti yang lahir tahun ular
Datuk Seri Najib Tun Razak (23 Julai 1953)
Lim Kit Siang (20 Feb 1941)
Rafizi Ramli (14 Sept 1977)

Tahun Kuda

Anda seorang yang dinamik dan berjiwa lasak. Dalam apa jua keadaan anda mampu menyesuaikan diri. Anda juga merupakan seorang pengkritik yang hebat namun jujur. Ramai manjauhkan diri dari anda kerana tidak sanggup mendengar pendapat jujur anda mengenai kelemahan mereka.
Tahun ini akan membawa keuntungan terutama dalam bidang perniagaan, namun harus lebih berhati-hati supaya tidak kecundang memandangkan tahun ini bukan terbaik untuk melabur melainkan anda mempunyai ‘harta’ yang banyak.

Personaliti yang lahir tahun kuda
P. Waytha Moothy (16 Julai 1966)
Mohamad Sabu (14 Oktober 1954)
Siti Nurhaliza (11 Januari 1979)

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]