Tidak ada salahnya kerjasama pilihan raya Umno-PAS, kata MCA

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, terdapat perbezaan antara solidariti sesama parti pembangkang dengan gabungan melibatkan parti terbabit.

KUALA LUMPUR: MCA hari ini berkata tidak ada salahnya Umno dan PAS bekerjasama bagi mengalahkan pesaing yang sama dalam pilihan raya kecil (PRK) Semenyih Mac depan.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, terdapat perbezaan antara solidariti sesama parti pembangkang dengan gabungan melibatkan parti terbabit.

“Sebagai contoh, jika sesebuah parti mahu berjuang menentang rasuah, saya tidak kata kami mempunyai ideologi berbeza. Ini merupakan nilai bersama yang mesti dipertahankan oleh kita semua.

“Dulu pun, parti pembangkang pernah terima kerjasama dan kolaborasi. Saya tak nampak perbezaan apabila dulu PAS dan DAP bekerjasama rapat,” katanya pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Wisma MCA.

Sekarang katanya, Umno dan PAS mahu bekersama tanpa bersatu menjadi sebuah parti tunggal.

“Jika saya mahu bertanding di satu kerusi, parti yang satu lagi tidak akan bertanding dalam pilihan raya itu bagi mengelakkan persaingan 3 penjuru,” katanya.

Merujuk kepada contoh pada 2008 dan 2013, PAS tidak bertanding di kawasan DAP. “2 parti itu memutuskan untuk ada satu calon. Apakah yang salahnya?,” soal beliau.

Pada Oktober lepas, MCA berkata ia tidak akan teragak-agak memutuskan hubungan dengan Umno sekiranya parti itu terus bekerjasama dengan PAS tanpa terlebih dahulu berunding dengan parti komponen Barisan Nasional.