‘Uncle Kentang’ mahu bertanding bebas di Semenyih

Kuan Chee Heng (2 dari kanan) melancarkan hotel RM1 di Puchong pada 2017 untuk golongan kurang bernasib baik. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Seorang aktivis masyarakat yang terkenal dengan inisiatif seperti perkhidmatan ambulans dan teksi 10 sen bagi meringankan beban kewangan golongan miskin dan memerlukan akan bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil (PRK) Semenyih awal bukan depan.

Kuan Chee Heng, juga dikenali sebagai “Uncle Kentang” atau “orang 10 sen”, memberitahu FMT bahawa beliau bertanding dalam PRK itu bagi memberikan orang miskin dan sakit suara dalam masyarakat.

“Saya tidak menyertai politik untuk menjadi ahli politik. Saya bertanding sebagai calon bebas untuk menjadikan kehidupan rakyat lebih baik,” katanya.

Katanya, umum rakyat Malaysia kecewa dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kerana tidak menunaikan janji mereka. Rakyat yang mengundi mereka “tidak mendapat apa-apa akhirnya”.

Kuan, yang juga merupakan presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Persatuan Kepolisan Komuniti (CP) menyesali keadaan ahli politik yang setelah dipilih menjadi wakil rakyat, memandu kereta yang lebih baik, tetapi “rakyat yang miskin, tetap miskin”.

Katanya, beliau tidak bertanding dalam pilihan raya untuk “bermain politik” tetapi untuk menyediakan kemudahan seperti teksi, kereta mayat dan ambulans 10 sen kepada golongan miskin yang tinggal jauh dari hospital kerajaan.

Kuan menubuhkan CP Malaysia pada 2007 dan persatuan itu kini mempunyai 100,000 ahli di seluruh negara.

CP Malaysia juga mengendalikan sebuah pusat perlindungan RM1 untuk orang miskin yang tinggal di luar kawasan bagi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Perpustakaan 10 sen adalah satu lagi inisiatif NGO Kuan untuk kanak-kanak dari keluarga daif.

“Mana-mana orang yang mahu menjadi calon di Semenyih seharusnya menawarkan khidmat yang serupa atau lebih baik,” katanya.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih kosong berikutan kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas kerana serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 9 Mei, beliau mengalahkan calon BN, PAS dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam pertandingan 4 penjuru. Bakhtiar yang mewakili PPBM-PH menang dengan majoriti 8,964 undi setelah meraih 23,428 undi.