Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin kini sedang giat menjalani latihan persediaan untuk konsertnya, Siti On Tour 2019, bermula hujung bulan ini.

Bagi memantapkan lagi suara emas penyanyi kesayangan ramai, beliau turut mendapatkan perkhidmatan guru vokal selain menjalani latihan di rumahnya, di Bukit Antarabangsa.

Menariknya kelas vokal yang dijalankan di rumah turut disertai anak tunggal beliau, Siti Aafiyah Mohd. Khalid.

Dalam satu muat naik Instagram miliknya, Aafiyah dilihat teruja menjalani latihan bersama ibunya.

“Ibu ada kelas vocal hari ini, Aafiyah pula yang excited nak belajar.. kuat pula tu suara dia … hahahaha,” tulis Siti mengenai anak kesayangannya.

Posting tersebut disaksikan lebih 643,193 pengikut dan masing-masing memberi komen positif terhadap tingkah laku lucu si kecil tersebut.

Konsert jelajah ‘Siti On Tour 2019’ akan bermula di Istora Senayan, Jakarta pada 21 Februari 2019, diikuti dengan Singapore Expo, Singapura pada 2 Mac 2019, Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 16 Mac 2019 sebelum ‘terbang’ ke Royal Albert Hall, London pada 22 April 2019.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]