Banjir di Australia: Pelajar Malaysia selamat

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan mengesahkan tiada pelajar Malaysia yang terjejas dalam kejadian banjir buruk yang melanda bahagian utara Queensland, Australia.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, laporan yang diterima daripada Education Malaysia Australia malam tadi menunjukkan semua pelajar Malaysia di kawasan Townsville, Queensland selamat.

“Saya juga mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua pelajar dan rakyat Malaysia yang terkesan dengan banjir buruk ini,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Maszlee juga berkata, Education Malaysia Australia akan terus berhubung dengan pelajar-pelajar Malaysia dan akan terus memberikan segala sokongan yang diperlukan.

“Pada masa yang sama saya mengucapkan terima kasih kepada Wisma Putra atas sokongan yang diberikan dalam menjaga kebajikan pelajar Malaysia di kawasan yang dilanda banjir itu,” katanya.

Ketika ditemui wartawan di Johor Bahru petang semalam, Maszlee berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar bagi mendapatkan perkembangan terkini berkaitan bencana itu.

“Saya akan rujuk kembali dengan Education Malaysia (Australia) (bagi mendapatkan maklumat terkini),” katanya.

Maszlee berkata pihaknya akan mengambil tindakan segera sekiranya ada pelajar Malaysia terbabit dalam bencana itu.

Sebelum ini dilaporkan 50 rakyat Malaysia yang berada di bandar Townsville, Queensland selamat.

Wisma Putra sebelum ini berkata risiko di kawasan terjejas adalah tinggi kerana hujan lebat dijangka berterusan untuk beberapa hari akan datang.

Banjir itu yang disifatkan berlaku “sekali dalam seabad” berpunca daripada hujan lebat tidak normal semasa musim tengkujuh dan memaksa beribu-ribu penduduk meninggalkan rumah masing-masing kerana hujan lebat dijangka berterusan.