Haram kedai makan guna ‘Milo’ murah, kata mufti

Perbuatan menukar Milo kepada serbuk coklat lebih murah dikira menipu dan akad pembelian tersebut tidak sah. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Mufti Wilayah Persekutuan berkata perbuatan pengusaha kedai makan menukar serbuk Milo kepada serbuk coklat yang lebih murah untuk minuman adalah haram.

Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi kiriman Facebook berkata perbuatan itu yang dilakukan tanpa pengetahuan pelanggan adalah dilarang dan berdosa.

“Ini kerana terdapat unsur penindasan dan kezaliman terhadap hak yang sepatutnya diterima oleh pembeli sebagai imbalan kepada harga pembelian yang dibayar.

“Selain itu, syarat sah jual beli juga ialah, kedua-dua pihak (penjual dan pembeli) mengetahui secara jelas barang yang diniagakan tanpa menyembunyikan apa-apa ‘aib’ yang ada pada barangan yang diniagakan itu,” tulisnya.

Tambahnya, perbuatan tersebut dikira menipu dan akad pembelian tersebut tidak sah.

Zulkifli menjawab pertanyaan pengguna media sosial yang bertanyakan hukum sekiranya peniaga menukar serbuk Milo kepada serbuk coklat yang lebih murah untuk meningkatkan keuntungan.

Beliau berkata Islam tidak melarang umatnya meraih untung dalam perniagaan tetapi harus selari dengan garis panduan yang ditetapkan.

“Konsep keuntungan dalam Islam bukanlah diperolehi dengan cara menipu atau muslihat, tetapi dengan cara reda-meredai.

“Sekiranya, jual beli berlaku dengan cara yang tidak betul (menipu dan sebagainya), sudah pasti pembeli tidak lagi mahu mengulangi muamalah jual beli dengan penjual yang sama.”