Jabatan hutan Perak nafi ugut Orang Asli, tiada tanah adat diwarta

Sekumpulan Orang Asli Kampung Tasik Cunex di sekatan yang didirikan bagi menghalang pembalak di Gerik. (Gambar Peka)

PETALING JAYA: Jabatan Perhutanan Perak menafikan dakwaan mereka mengugut Orang Asli Kampung Tasik Cunex di Gerik yang mendirikan sekatan menghalang pembalak.

Pengarah Datuk Mohamed Zin Yusop berkata pihaknya menemui Orang Asli di situ untuk menjelaskan kelulusan membalak di kawasan tersebut diluluskan oleh pihak berkuasa negeri.

“Jabatan perhutanan tidak pernah memberi ugutan kepada Orang Asli di situ, sebaliknya hanya memberi penjelasan mengenai aktiviti pembalakan di situ,” katanya kepada FMT.

Mohamad Zin menangkis tuduhan mendakwa jabatan perhutanan dan kerajaan negeri menceroboh “tanah adat”, menjelaskan tiada kawasan hutan simpanan kekal diwarta sebagai tanah adat di Perak.

“Kawasan yang didakwa merupakan Hutan Simpan Air Chepam dan bukan tanah adat Orang Asli seperti yang didakwa,” katanya.

Beliau juga memaklumkan Perak mematuhi catuan tebangan tahunan (CTT) yang ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara, iaitu seluas 7,744 hektar setahun.

Pembalakan juga dilaksanakan secara terpilih di mana hanya pokok-pokok yang menepati piawaian dibenarkan ditebang selepas melalui proses “tagging”.

“Dakwaan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) aktiviti pembalakan di negeri ini tidak terkawal adalah tidak berasas sama sekali,” katanya.

Terdahulu, Orang Asli Kampung Tasik Cunex mendakwa kerajaan negeri menceroboh tanah adat mereka untuk aktiviti pembalakan sejak 18 Januari lalu.

Mereka mendakwa aktiviti pembalakan itu, difahamkan di kawasan seluas 80 hektar, dijalankan tanpa kebenaran komuniti itu. Mereka mendirikan sekatan selepas aduan kepada kerajaan negeri dan menteri besar pada 10 Januari tidak diendahkan.

“Pada 31 Januari, wakil syarikat dan Jabatan Perhutanan Perak datang dan memberi amaran sambil memaklumkan akan meneruskan aktiviti pengeluaran kayu balak,” kata wakil penduduk.

Satu laporan polis dibuat berhubung perkara tersebut.