Jangan diskriminasi basikal lajak, kata pusat latihan remaja

The Basikal, sebuah pusat latihan yang memberi khidmat kepada kira-kira 18 remaja dari kelurga berpendapatan rendah yang ingin belajar membaiki basikal secara percuma.

KUALA LUMPUR: Kecenderungan dan minat remaja yang menjadikan basikal lajak sebagai aktiviti sukan tidak seharusnya disekat, kata pengasas pusat melatih remaja membaiki basikal.

Akmal Azfar Abd Mutalib, yang juga pengasas The Basikal berkata, satu inisiatif khusus perlu dilakukan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mengubah persepsi negatif berkaitan aktiviti itu.

Akmal Azfar Abd Mutalib (kiri) melayani pelanggannya bagi mendapatkan khidmat membaiki basikal dan menjual beberapa aksesori tambahan basikal.

“Inilah peluang untuk mereka menerokai potensi mereka, macam mana untuk meluahkan perasaan dan masyarakat beranggapan aktiviti berkenaan tidak elok dan jahat.

“Jika hendak kata ia jahat, banyak lagi 1,001 benda jahat yang mereka boleh buat. Basikal lajak ini hanyalah satu cara untuk remaja ini menzahirkan ‘adrenaline rush’ melalui aktiviti berkenaan,” katanya kepada FMT.

Pada Febuari 2017, 8 remaja lelaki yang menunggang basikal lajak maut dalam satu kemalamgan apabila dirempuh sebuah kenderaan di Johor Bahru.

Malah, Ogos tahun lalu seramai 30 remaja termasuk kanak-kanak yang menggunakan basikal lajak ditahan akibat aktiviti berkenaan dan basikal mereka turut disita polis ketika itu.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahrinain Jais ketika itu berkata, 20 saman dikeluarkan mengikut Kesalahan di bawah Peraturan 42(1)(a) Kaedah-Kaedah lalulintas 1959.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 1 Januari lalu memuji remaja terlibat dalam basikal lajak yang disifatkan sebagai berinovatif.

“Adik-adik basikal lajak ini ‘potong’ basikal mereka sendiri, boleh repair basikal ‘on the spot’ dan sentiasa mencari cara menambah baik basikal mereka,” kata Syed Saddiq.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, sebelum ini timbul isu membabitkan mat rempit dalam kalangan remaja, namun isu ini diselesaikan dengan cara memberi kemudahan kepada mereka. Katanya, inisiatif yang sama boleh diwujudkan bagi basikal lajak.

“Jadi tanggungjawab kita positifkan, sama juga dengan dulu isu ‘drag race’, lumba motosikal dan sebagainya. Jadi bayangkan apa yang kita boleh lakukan kepada remaja terlibat dalam basikal lajak.

“Dengan usia muda boleh ubahsuai basikal sehingga ke tahap itu dan lakukan tanpa ‘proper equipment’, bayangkan jika pendidikan sebenar berkaitan basikal diberi, apa lagi inovasi yang mereka boleh lakukan,” katanya.

Akmal berkata, negara harus melihat potensi terhadap industri basikal memandangkan ia memberi pulangan besar kepada negara memandangkan ia mendapat permintaan tinggi.

Antara basikal yang ada di The Basikal, basikal ini akan digunakan untuk tujuan pembelajaran membaiki basikal.

“Kita sibuk adakan kereta nasional ke-3, sedangkan kita dahulu antara pengeluar basikal. Malaysia sepatutnya buat basikal dan lahirkan pakar dari bidang ini,” katanya.

Mengulas mengenai isu berbasikal dalam negara, Akmal berpandangan budaya berkenaan perlu diwujudkan dan berbasikal haruslah dijadikan gaya hidup masyarakat.

“Kita bukannya hendak jadikan semuanya sebagai pelumba basikal. Kita hendak jadikan basikal sebagai suatu gaya hidup. Sebenarnya bukan semua perlu ada kemudahan dahulu baru hendak berbasikal.

“Pada saya kena ada budaya berbasikal dahulu, wujudkan ‘mass impact’. Sebenarnya, lagi sibuk jalan raya, lagi selamat kerana kereta akan perlahan. Cumanya, ruang meletakkan basikal sahaja itu yang perlu.”