Kamu kalah jika pengundi Islam ikut cakap Hadi, Kit Siang tegur Wee

Veteran DAP, Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR: Veteran DAP Lim Kit Siang membidas Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong kerana tidak menyedari ironi mempertahankan kerjasama Umno dan PAS semasa pilihan raya.

Lim tertanya tidakkah Wee sedar dia akan hilang deposit di Parlimen Ayer Hitam pada pilihan raya umum ke-14 jika pengundi ikut cakap Hadi bahawa orang Islam mesti mengundi calon beragama Islam.

Lim berkata Wee menang 17,076 undi menewaskan calon Pakatan Harapan, Liew Chin Tong dengan majoriti kecil 303 undi.

Calon PAS, Mardi Marwan peroleh 4,975 undi.

“Kalau orang Islam hanya undi calon beragama Islam, seperti pendirian Hadi, mendakwa seorang pemimpin Islam yang korup lebih baik daripada seorang pemimpin bukan Islam yang bersih, Wee tidak akan dapat undi orang Islam dan akan hilang deposit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Wee patut tahu DAP tidak pernah bekerjasama dengan kepimpinan PAS yang memperjuangkan politik toksik.

Lim berkata DAP dahulu menjalin kerjasama dengan PAS yang berbeza, daripada 1999 hingga 2001 dalam Barisan Alternatif dan dari 2008 hingga 2015 dalam Pakatan Rakyat.

Semalam, Wee berkata tak salah Umno dan PAS bekerjasama menewaskan seteru yang sama pada pilihan raya kecil Semenyih.

Beliau ketika majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Wisma MCA berkata DAP dan PAS juga pernah bekerjasama dengan baik sebelum ini.

Lim berkata DAP akan bekerjasama dengan politik Islam yang mengiktiraf Malaysia sebagai satu masyarakat plural dan percaya kekuatan Malaysia adalah daripada memanfaatkan aset dan kualiti terbaik daripada pelbagai kaum, agama, bahasa dan ketamadunan yang bertemu di negara ini.

“Membina toleransi, kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan kaum dan agama dan tidak menyemai syak, curiga, ketakutan dan kebencian antara kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata cubaan Wee mempertahakan kerjasama politik antara parti komponen Barisan Nasional dan PAS menonjolkan hipokrasi politik pemimpin MCA.

“Wee bersandiwara di depan perhimpunan agung MCA mengatakan BN sudah lapok dan perlu dibubarkan.

“Tetapi selepas perhimpunan agung, Wee seperti itik dalam air, menunjukkan dia sangat selesa sebagai pengikut dalam BN.”

Lim berkata rahsia politik yang tidak pernah diberitahu adalah peranan menteri dan pemimpin MCA dalam menutup skandal 1MDB.

“Adakah Wee akan beritahu rakyat kebenaran tentang cerita itu?”