Gambar Bernama.

Setiap kali tibanya perayaan Tahun Baru Cina, penulis pasti teringatkan waktu kanak-kanak dulu. Terbayang wajah sahabat ayah antaranya Tauke Bak Haw dan Tauke Seng Huat, juga rakan-rakan ibu seperti Makcik Ang Ngau dan Nyonya Tam.

Lantas kenangan waktu Deepavali dan Hari Raya pun menerjah dengan wajah-wajah Tande Maniam (Mandor estet), Makcik Azee dan Makcik Shadow (2 wanita berbangsa India masing-masing beragama Hindu dan Kristian), juga Makcik Chombi, Kak Rosnah dan lain-lain – kesemuanya menoreh bersama-sama ibu.

Ketika Tahun Baru Cina, ibu dan ayah akan membawa balik kuih bakul, kuih bangkit, bepang, kuaci, kacang serta limau mandarin.

Apabila sambutan Deepavali pula, rakan-rakan sekerja ibu akan memberikan pelbagai manisan dan kuih-muih tradisional India seperti urundai, jillebhi dan ladhu.

Datang pula Hari Raya, ibu pasti sibuk membungkus pelbagai jenis kuih untuk diberikan kepada rakan-rakannya. Begitu juga yang sama-sama menyambut Hari Raya, meriahlah pula bertukar-tukar juadah.

Mengimbau masa lalu, ibu dan rakan-rakannya selalu makan bersama ketika waktu rehat pada hari kerja (menoreh). Setiap hari, kira-kira pada pukul 10 pagi, kelihatan ibu dan sahabat-sahabatnya itu duduk menikmati bekalan masing-masing sambil bercerita. Sesekali riuh tawa mereka memecah keheningan ladang getah yang luas itu.

Memulakan kerja pada pukul 5 pagi, ibu dan sahabat-sahabatnya biasanya habis menoreh kira-kira 500 batang pokok getah menjelang 10 pagi, Mereka lalu berehat sebentar sementara menantikan susu getah memenuhi cawannya.

Selesai makan, mereka akan berjalan sekitar kawasan masing-masing sambil membersihkan laluan atau merawat pokok getah.

Itulah rutin harian ibu, dan rakan-rakannya. Ada kalanya mandor ladang, Tande Maniam yang meronda ladang akan singgah berbual dengan mereka.

Mereka adalah antara ratusan penoreh getah di ladang yang luasnya ribuan hektar di utara Semenanjung.

Di ladang itulah penulis ‘belajar’ makan tose, capati, wade dan kuih-muih yang dihidangkan ketika Deepavali.

Persahabatan mereka bukan sekadar waktu kerja. Ada kalanya mereka singgah di rumah mana-mana rakan apabila hujung minggu atau kebetulan berada di kawasan berkenaan. Saling menjenguk jika ada yang kurang sihat.

Ayah juga penoreh getah. Tapi ayah menoreh di sebuah ladang kecil milik tauke Bak Haw, yang juga pemilik kedai runcit di pekan berhampiran. Barangan keperluan dapur dibeli dari kedainya.

Ayah punya ramai kenalan berbangsa India dan Cina, malah memahami dan boleh bertutur ayat-ayat mudah Tamil dan Hokkien. Jadi tidak hairanlah jika ayah punyai ramai kenalan kaum Cina dan India di pekan kecil berhampiran kampung kami.

Di kampung pula, peniaga kain yang kami panggil Apek Kelentong akan datang bertemu pelanggannya setiap bulan, dan lebih kerap ketika musim menuai padi. (Kelentong adalah alat seperti gendang kecil pada satu kayu yang digunakan untuk menjaja, bukan maksudnya bohong atau menipu).

Malah selain Melayu, jiran kami juga terdiri daripada satu keluarga berbangsa Cina, begitu juga nenek yang tinggal tidak jauh dari kampung saya. Nenek yang tinggal di sempadan pekan pula berjiran dengan keluarga India, Cina dan Siam. Sakit demam, gotong-royong atau kenduri-kendara, jiran pelbagai kaum turut serta. Kini, generasi seterusnya keluarga berkenaan sudah berpindah ke bandar besar.

Ibu, ayah, nenek, saudara-mara dan jiran semuanya bukanlah golongan berpelajaran tinggi. Ada dalam kalangan mereka pernah melalui detik hitam dalam sejarah negara. Namun mereka sentiasa berfikiran terbuka dan berlapang dada tanpa mengungkit masa lampau.

Semua itu hanya tinggal kenangan, Ibu dan ayah sudah tiada lagi dan ada ramai sahabat mereka juga sudah meninggal dunia. Selainnya juga putus hubungan tanpa sedar. Waktu bersama-sama sahabat ibu dan ayah kini tinggal kenangan.

Tidak kurang juga dengan kehidupan penulis. Saya juga punya sahabat yang berbilang bangsa. Di sekolah rendah, antara beberapa orang sahabat yang paling rapat adalah Ah Rin, berketurunan Siam manakala di sekolah menengah, sahabat karib saya, Selina, berbangsa Cina. Jadi keraplah saya bermalam di rumahnya. Kampungnya berjiran dengan kampung Melayu dan Selina dipanggil Fatimah, oleh kawan-kawan Melayu di kampung sebelah. Malah abang-abangnya juga memanggilnya Fatimah.

Merujuk atau memanggil seseorang sebagai budak Melayu, India, Cina atau Siam bukanlah sesuatu yang janggal. Bukan juga satu kesalahan. Ia sesuatu yang dianggap biasa, masing-masing bangga dengan bangsa sendiri.

Masuk alam pekerjaan, sama juga. Rakan-rakan terdiri daripada berbilang kaum. Sehinggalah berpuluh tahun bekerja, suasananya sama. Tidak ada garis pemisah antara kami sama ada berketurunan Melayu, Cina, India, Serani mahupun etnik lain.

Baik Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Deepavali atau Krismas ada sahaja yang membawa buah tangan, kuih muih dan sebagainya.

Keluarga suami saya juga ‘cacamarba’. Ada yang beragama Islam, Kristian dan Hindu.

Berbual dengan rakan sekerja, kami sering bercerita pelbagai kisah rakan yang berbilang bangsa dan agama sejak zaman persekolahan sehingga dewasa.

Kami tidak dapat bayangkan kehidupan ini tanpa kepelbagaian itu dan sukar memikirkan jika ada garisan pemisah antara satu kaum dengan yang lain.

Sepanjang hidup kami, keindahan Malaysia yang kami kenal dicorakkan oleh kepelbagaian kaum, bahasa dan agama. Kepelbagaian yang unik ini adalah ‘harta’ kita. Itulah kekuatan negara kita – Malaysia.

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis)

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]