Kerajaan berhasrat guna pakar dan kemudahan hospital swasta

AMPANG: Kementerian Kesihatan mula bekerjasama dengan hospital swasta bagi mendapatkan kepakaran yang cukup untuk merawat penyakit kronik.

Menteri Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad berkata, beberapa hospital swasta menemui mereka sebulan lalu dan menunjukkan kesediaan bekerjasama dengan kerajaan.

Kementerian menubuhkan majlis penasihat kesihatan untuk menguruskan perinciannya.

“Kita sedang melihat bagaimana kita boleh meningkatkan kerjasama kerajaan dengan sektor swasta,” katanya selepas melawat Hospital Ampang hari ini.

“Kita mengalu-alukan tawaran untuk bekerjasama dengan kita ini. Kita harap dapat atasi masalah yang kita hadapi serta meringankan beban kerja.

“Kerjasama itu juga dapat membantu pesakit kanser,” katanya.

Beliau berjumpa beberapa pesakit dan kakitangan dalam lawatan lebih sejam ke hospital kerajaan itu.

Katanya, kerajaan boleh menggunakan kemudahan yang lebih baik yang ada di hospitan swasta.

Begitu juga dengan pakar swasta.

“Saya harap kita dapat memulakan program ini dengan sektor swasta tahun ini,” katanya,