Kerajaan beri 95% subsidi rawatan kanser untuk orang miskin

Pesakit dibantu melalui program dan rawatan di hospital kerajaan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan kini membantu pesakit kanser, termasuk memberi 95% subsidi kepada orang miskin melalui program dan rawatan di hospital kerajaan.

Timbalan menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, ia juga menubuhkan Tabung Bantuan Kebajikan untuk membantu pesakit kanser mendapat dana.

Beliau merujuk gesaan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago supaya kerajaan menubuhkan Tabung Kanser Negara untuk membantu pesakit yang berdepan dengan kos rawatan yang tinggi.

Santiago berkata, penubuhan tabung seperti itu sangat perlu kerana hampir mustahil pesakit terus bekerja apabila penyakit itu menjadi kronik.

Katanya, pesakit yang menerima rawatan di hospital kerajaan juga terpaksa menanggung kos tinggi untuk mendapatkan ubat.

Lee berkata: “Kita menghargai gesaan untuk menubuhkan tabung seperti itu untuk menolong pesakit kanser. Barangkali kita boleh dapatkan sokongan sektor swasta untuk memberi dana. Sektor swasta patut mengambil inisiatif ini.”

Bercakap kepada FMT, beliau mengakui penyakit kanser makin bertambah kerana ramai golongan tua, sementara rawatannya pula melibatkan perbelanjaan besar.

Beliau menggesa rakyat memberi perhatian kepada usaha mengelak penyakit tersebut dan menjalani pemeriksaan awal.

“Kita dapati banyak kes kanser dalam negara ini dikesan pada peringkat akhir. Sebab itu kita perlukan pengesanan awal.

“Kita (kerajaan) menggalakkan orang ramai memabuat pemeriksaan awal, tetapi terdapat persepsi ketakutan orang ramai terhadap rawatan kanser. Mungkin itulah sebabnya orang tidak mahu menjalani pemeriksaan awal,” katanya.