Kes RM90 juta: Patriot seru orang ramai salur maklumat

Mohd Arshad Raji berkata, penyelesaian kes di luar mahkamah antara Hadi Awang dan Clare Rewcastle Brown tidak bermakna kes itu ditutup.

PETALING JAYA: Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyeru sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat berhubung wang berjumlah RM90 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun pemimpin PAS, supaya memfailkan laporan kepada pihak berkuasa.

Presidennya, Brig Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji berkata rakyat ingin tahu hakikat sebenar kes tersebut kerana wang yang dibayar itu diperoleh daripada dana 1MDB.

“Ahli-ahli PAS yang menyumbang kepada dana perundangan untuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga seharusnya berminat mengetahui kebenarannya. Kes ini melangkaui sekadar tuduhan dari Clare Rewcastle Brown terhadap Hadi dan sebaliknya.

“Apa yang menjadi pertaruhan adalah integriti undang-undang jenayah dan jutaan minda muda yang akan tertanya-tanya apakah rasuah dan ketidakjujuran adalah cara hidup masyarakat moden,” katanya dalam satu kenyataan.

Arshad berkata, penyelesaian kes di luar mahkamah di London antara presiden PAS dan editor Sarawak Report itu tidak bermakna kes itu ditutup.

“Rakyat Malaysia menuntut kebenaran berhubung kes ini,” katanya sambil menyelar pemimpin PAS yang terpalit dengan isu tersebut yang sering tampil warak dan menjanjikan ganjaran syurga kepada ahli parti yang menyokong mereka.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan susulan aduan yng dibuat oleh seorang individu berhubung kes itu.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil menggesa agensi anti-rasuah itu memulakan siasatan ke atas dakwaan rasuah itu kerana SPRM dibolehkan bertindak berdasarkan maklumat mengenai perlakuan rasuah tanpa aduan bertulis.

Claire dalam artikelnya yang diterbitkan oleh portal Sarawak Report antara lain mendakwa pimpinan tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Hadi kemudiannya memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di London. Minggu lepas dilaporkan ahli Parlimen Marang itu bersetuju memuktamadkan penyelesaian dengan Claire Rewcastle Brown.