Lebih 100 individu ditahan dalam parti ambang Tahun Baru Cina

Semua yang ditahan berusia 20 hingga 30 tahun direman 4 hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

KUALA LUMPUR: Polis menahan 117 individu termasuk seorang wanita yang dipercayai penganjur parti persendirian menjelang Tahun Baru Cina di sebuah pusat hiburan di Pudu, pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju DSP Muhammad Najib Hamzah berkata dalam operasi bermula 2 pagi itu pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 314 individu dan mendapati 115 daripada mereka termasuk 29 wanita positif dadah.

“Polis turut menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mempunyai tatu angka 08 di bahu kiri dan dia direman selama sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya semua individu yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun direman selama 4 hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Muhammad Najib berkata penganjur berusia 27 tahun, yang menyewa premis berkenaan dengan harga RM12,000 sehari, dibebaskan dengan jaminan polis.

Siasatan mendapati penganjuran parti itu diiklankan menerusi laman Facebook dan bayaran RM30 dikenakan untuk menyertainya sebelum 12 tengah malam dan dinaikkan kepada RM40 selepas 12 tengah malam, katanya.

“Dalam serbuan itu polis turut merampas minuman keras, peralatan muzik dan wang tunai,” katanya.