Macedonia tandatangan perjanjian Nato walau tidak disukai Rusia

(Gambar AFP)

BRUSSELS: Ahli-ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) menandatangani perjanjian dengan Macedonesia hari ini yang membolehkan republik kecil itu menyertai pakatan pimpinan Amerika Syarikat itu sebagai ahli yang ke-30.

Perkembangan ini menyusuli perjanjian antara Macedonia dan Yunani yang menamatkan pertikaian 27 tahun mengenai nama bekas republik Yugoslavia itu.

Di majlis menandatangani protokol kemasukan ke Nato itu, yang kini mesti ditandatangani oleh semua kerajaan bersekutu, Menteri Luar Negri Macedonia, Nikola Dimitrov berkata saat ini menandakan negaranya tidak bersendirian lagi.

“Kami berdiri teguh bersama 29 sekutu lain…boleh dan sedia menggalas tanggungjawab keanggotaan penuh Nato,” kata Dimitrov pada sidang media selepas duta-duta Nato menandatangani protokol itu.

Proses ratifikasi itu kebiasaannya mengambil masa 1 tahun, dan Amerika Syarikat menjangkakan Macedonia, atau nama barunya Macedonia Utara, akan menyertai pakatan itu secara rasmi pada 2020.

Rusia berkata Nato melemahkan keselamatan serantau apabila ia menerima masuk negara Balkan.

Tiga lagi bekas republik Yugoslavia iaitu Slovenia, Croatia dan Montenegro sudah menyertai Nato, dan begitu juga negara lain di rantau Balkan iaitu Albania, Bulgaria dan Romania.

Presiden Rusia Vladimir Putin memberi amaran kepada Nato agar tidak menjalin hubungan rapat dengan Ukraine dan Georgia yang juga berhasrat menyertai pakatan itu.