Demi minat seseorang sanggup melakukan apa saja. Itu yang terjadi kepada Dulkifli Djuaeri, 37, yang begitu taksub terhadap kasut klasik terpakai berjenama Adidas hingga pernah menghabiskan wang bonusnya untuk membeli 5 pasang kasut dari koleksi kawannya.

Dulkifli yang lebih dikenali sebagai Ide Adol dalam kalangan pengumpul kasut, kini mempunyai kira-kira 220 pasang kasut klasik jenama popular terutama Adidas, yang dianggarkan bernilai RM180,000.

Koleksi kasut itu, yang kebanyakannya terdiri daripada edisi ‘City Series’ dan ‘Island Series’, dan saya menjadi pengumpul kasut klasik berjenama terpakai itu sejak tahun 2011, katanya dalam temubual dengan Bernama.

“Kebanyakan kasut yang saya miliki ketika ini diperoleh menerusi pembelian di bundle, dalam talian dan rakan-rakan pengumpul kasut klasik.

“Kasut-kasut yang saya simpan sekarang kebanyakannya dari era 1950-an hingga 1980-an dan berasal dari negara antaranya Jerman, Slovenia, Jepun, Australia, Perancis dan Hungary,” kata Dulkifli.

Dulkifli, yang berjawatan ketua penyelidikan dan pembangunan sebuah syarikat berkata pengaruh rakan-rakannya sewaktu mengikuti mereka ke pameran dan jualan kasut klasik suatu ketika dahulu telah mempengaruhi minatnya untuk menjadi pengumpul kasut.

Ditanya mengapa beliau amat meminati jenama Adidas, beliau berkata 3 jalur yang amat sinonim dengan jenama dari Jerman itu adalah antara faktor tarikan, selain warna dan reka bentuk kasut itu yang lebih menarik daripada jenama lain.

Bagi Dulkifli kasut yang amat disayanginya ialah kasut ‘high cut’ edisi Oasis berwarna coklat dari Perancis, yang juga mempunyai nilai sentimental yang tinggi buat dirinya.

Dulkifli juga mendakwa hanya beliau sahaja memiliki kasut itu di Malaysia.

“Jika terdapat orang yang berminat untuk membeli kasut edisi Oasis ini, saya enggan menjualnya,” katanya dan menambah bahawa kasut Adidas Riviera adalah kasut termahal yang dibelinya dengan harga RM2,000.

Bapa kepada 3 anak lelaki itu, tidak menafikan pada mulanya isteri agak terkilan melihat beliau sanggup membelanjakan kesemua wang bonusnya untuk membeli kasut terpakai yang diminatinya.

“Namun lama kelamaan beliau faham kerana saya juga dapat menjana pendapatan sampingan melalui penjualan kasut kepada pembeli yang berminat,” katanya ketika ditanya mengenai reaksi isterinya mengenai hobinya itu.

Dulkifli juga berkata berikutan koleksi kasutnya yang semakin banyak, sebahagian dari ruang tamu rumahnya terpaksa diubah menjadi rak simpanan kasut setinggi 10 tingkat, dan menjadikan ruang tamunya bagaikan sebuah butik kasut.

Malah obsesinya terhadap kasut Adidas turut mendapat perhatian pengumpul kasut dari luar negara sehingga koleksi kasutnya terpilih untuk dipaparkan di dalam sebuah majalah khas buat pengumpul kasut klasik Adidas iaitu majalah ‘Adidas Only Addiction’ yang diterbitkan di United Kingdom.

Beliau juga merancang untuk menganjurkan sebuah acara pameran dan jualan kasut klasik pada tahun ini.

“Pada tahun 2016 dan 2017, saya bersama rakan-rakan pernah menganjurkan pameran “Three Stripes Maniacs (TSM) iaitu di Ruang, Subang Jaya dan Universiti Malaya.

“Pameran TSM turut berjaya menarik pengumpul dari Jerman, United Kingdom dan Hong Kong dengan kehadiran 5,000 pengunjung,” tambahnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]