Peratus kanak-kanak ‘terbantut’ di Kelantan lepasi tahap kritikal

Penganalisis Zuohair Rosli berkata,terbantut dalam konteks kesihatan bukan sahaja bermaksud pendek dan ketot, malah lebih daripada itu.

PETALING JAYA: Kemiskinan di Kelantan menjadi punca utama kanak-kanak negeri itu berdepan dengan masalah tumbesaran dan pembelajaran, kata seorang penganalisis.

Negeri itu mempunyai bilangan kanak-kanak terbantut tertinggi di Malaysia, iaitu sebanyak 34%.

Penganalisis ekonomi, Zuohair Rosli berkata, terbantut dalam konteks kesihatan bukan sahaja bermaksud pendek dan ketot, malah lebih daripada itu.

“Terbantut ini juga ada kesannya kepada perkembangan otak. Jadi pada masa depan nanti, apabila kanak-kanak ini masuk ke sekolah, dia akan jadi perlahan (slow learner) dan bila dia bekerja, dia akan mudah terdedah kepada penyakit lain, selalunya, sakit jantung,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Zuohair dari firma penyelidikan DM Analytics berkata, peratusan kanak-kanak terbantut di negeri Pantai Timur itu sudah melepasi tahap kritikal.

“Indeks sederhana pada paras 21%, manakala indeks krisis nasional paa 33% dan trend ini semakin meningkat setiap tahun,” jelasnya.

Insiden bantut di Malaysia. (Gambar MOH)

Tambahnya lagi, tidak pelik apabila Bank Dunia, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan bahawa Malaysia menghadapi 3 aspek kekurangan zat makanan, iaitu obesiti, terbantut dan anemia (kurang zat besi untuk hasilkan sel darah merah).

Laporan itu mendedahkan Malaysia mengatasi 40 negara lain dalam pelbagai jenis kekurangan zat dengan ketara.

Zuohair yang juga merupakan pelajar ijazah doktor falsafah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata, jika dilihat daripada senarai negeri, Putrajaya menduduki carta kedua dalam masalah kanak-kanak terbantut, meskipun negeri itu mempunyai purata pendapatan isi rumah tertinggi di Malaysia.

“Kalau Kelantan 34%, di Putrajaya pula dalam 25%,” jelasnya.

Bagaimanapun, isu terbantut di Putrajaya bukanlah berpunca daripada faktor kemiskinan, tetapi pemilihan pemakanan tidak sihat.

Jelas Zuohair lagi, sekiranya kerajaan tidak melakukan sebarang perubahan ataupun penambahbaikan kepada jurang pendapatan rakyat, menjelang tahun 2030, negara ini akan menjadi negara tua, iaitu bilangan individu berumur 69 tahun ke atas paling tinggi.

“Sepuluh tahun akan datang, kanak-kanak ini akan memasuki alam pekerjaan, kalau kita tidak menjaga kesihatan mereka, tidak lama lagi, kesihatan mereka akan mulai terjejas.

“Ini juga akan menjejaskan produktiviti negara. Hal ini kerana kita benar-benar perlukan golongan yang tinggi produktiviti, kalau tidak siapa akan menjaga golongan tua yang ramai itu?” tambahnya.