Pokok limau dengan buah kuning keemasan pastinya menjadi permintaan acap kali tiba Tahun Baru Cina. Manakan tidak, pada musim inilah kebanyakan kita berpeluang melihat pokok buah tersebut yang dijadikan sebahagian daripada perhiasan untuk mengalu-alukan tahun baru lunar Cina.

Namun, pokok itu semakin ‘tertinggal’ daripada senarai barang hiasan rumah ekoran harganya yang tinggi dan bukan menjadi pilihan tanaman ekoran isu penjagaan dari ancaman serangga.

Baru-baru ini FMT Ohsem sempat menemubual pengusaha Kedai Bunga Ampang, Adrian Chong yang menempah kira-kira 1,200 pokok buah limau sempena Tahun Baru Cina.

Pokok limau setinggi 2 hingga 3 meter pernah menjadi keperluan ‘wajib’ tetapi kini ia hanya menjadi pilihan dalam kalangan mereka yang berkemampuan.

“Ini kerana pokok limau bukan lagi murah malah mencecah antara RM150 hingga RM450 bagi satu pokok,” jelas Adrian.

Pokok limau menjadi buruan kerana melambangkan simbol keamanan dan kekayaan, warnanya kuning terangnya umpama emas. Selain bentuk fizikal dari segi istilah sebutan, limau dalam bahasa Kantonis iaitu ‘kam’ yan bermakna ‘kekayaan’ serta ‘keuntungan’.

Menurut Adrian, buruan terhadap pokok ’emas’ itu sudah bermula sejak sebulan yang lalu.

“Biasanya pokok yang mempunyai buah kekuningan dan kehijauan menjadi pilihan kerana tidak terlalu ranum. Bagaimanapun ia hanya boleh dimakan selepas 3 bulan kerana belum masak sepenuhnya,” katanya kepada FMT Ohsem.

Ditanya mengenai harga mahal pokok limau, Adrian akui ia kerana pokok itu hanya akan dituai dalam tempoh tertentu iaitu selepas 3 atau 4 tahun ditanam.

“Sebab itu pokok limau kini bukan lagi menjadi keperluan ‘must have’ kepada semua keluarga Cina tetapi menjadi pilihan golongan tertentu yang mampu sahaja,” ujarnya yang mengusahakan kedai tersebut sejak 10 tahun lalu selepas dipindah milik daripada ibunya sendiri.

Malah Adrian juga tidak berani menempah banyak pokok limau memandangkan keadaan ekonomi yang ‘tidak menentu’.

“Tahun lepas saya bekalkan 1,000 pokok limau di mana semuanya habis dijual, tahun ini saya tempah lebihan 200 dan berserah jika pokok yang ditempah tidak laku,” katanya yang menerima pelanggan dari Perak.

Berikutan bekalan yang terhad di Malaysia di samping permintaan tinggi pada musim perayaan, penjual tempatan mendapatkan bekalan dari negara China.

“Tanaman pokok limau agak terhad kerana berdepan masalah serangan serangga, reput akar selain memerlukan kawasan tanah yang agak luas.

“Kalau ada yang menanam pun hanya pengusaha nursery yang besar. Lagipun ia memerlukan sistem pengaliran yang sempurna,” ujarnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]