Rombakan Kabinet berita palsu, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad (3 dari kiri) menggaul yee sang bersama Anwar Ibrahim (kanan) dan Lim Guan Eng (3 dari kanan)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak desas-desus bahawa Kabinet akan dirombak selepas perayaan Tahun Baru Cina ini.

Beliau menyifatkan semua kenyataan tersebut sebagai berita palsu.

“Tiada rombakan Kabinet. Saya kekal dengan barisan Kabinet saya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan makan sempena Tahun Baru Cina di Jalan Ampang.

Turut hadir, isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai satu penulisan blog yang mendakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal dilantik sebagai timbalan perdana menteri selepas Tahun Baru Cina.

Merujuk kepada desas-desus itu, Dr Wan Azizah semalam menyatakan, beliau tidak menerima sebarang berita mengenai perkara tersebut dan ia “kena tanya perdana menteri”.

Sementara itu, catatan blog itu juga mengatakan kemungkinan pelantikan Azmin ke jawatan nombor 2 itu dikuatkan lagi dengan tindakan Dr Mahathir menyerahkan beberapa tugas penting kepada Azmin, termasuk sebagai pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan dan mungkin mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negara.