Tempat istimewa di neraka untuk penyokong Brexit, kata wakil EU

(Gambar AFP)

BRUSSELS: Penyokong Brexit yang tiada rancangan bagaimana menjayakannya layak mendapat “tempat istimewa di neraka”, kata Presiden Majlis Eropah Donald Tusk, mengundang kecaman daripada pendokong kempen anti-Kesatuan Eropah di Britain.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Tusk berkata: “Saya tertanya bagaimana rupa tempat istimewa di negara itu, untuk mereka yang mempromosikan Brexit, tanpa satu rancangan pun untuk melaksanakannya dengan selamat.”

Tusk, yang akan menerima lawatan Perdana Menteri Britain, Theresa May esok, ditemui selepas rundingan dengan perdana menteri Ireland tentang bagaimana menyelamatkan rancangan Brexit sebelum Britain keluar daripada blok itu dalam 50 hari lagi.

Keluarnya Britain daripada EU merisikokan keamanan di Ireland Utara.

Tusk berkata Britain akan meninggalkan blok itu sebagai “kawan yang boleh dipercayai” jika ia menarik balik bantahan terhadap jaminan kepada Ireland mengenai sempadan dengan Ireland Utara.

Bahasa yang Tusk gunakan itu membayangkan permusuhan yang bakal London hadapi jika ia gagal mencari suatu penyelesaian dengan jiran EU itu.

Ketika media British menayangkan kata-kata Tusk itu, penyokong kempen Brexit, Nigel Farage membalasnya di Twitter dengan berkata: “Selepas Brexit, kita akan merdeka daripada pembuli yang angkuh dan tidak dilantik seperti kamu.”

“Kedengaran seperti syurga,” tambahnya.

Penentang Brexit mempertahankan Tusk. Jurucakap parti pemerintah di Scotland menyifatkan tindakan Tusk membidas mereka yang berkempen meninggalkan EU tanpa rancangan sebagai “tepat”.