Sama ada anda tahu atau tidak, cara hidup masyarakat Cina Peranakan di Kelantan sangat unik kerana mereka mengadaptasi kehidupan dan budaya Melayu. Ini tentunya mengelirukan ramai untuk mengenal pasti sama ada golongan ini berbangsa Melayu, Siam atau Cina.

Sambutan Tahun Baru Cina juga menjadi tarikan kerana ia disambut dengan cara tersendiri oleh masyarakat Cina negeri ini.

Kang Bok Kiew, 74 tahun, berasal dari Machang, Kelantan teruja menyambut Tahun Baru Cina di tempat lahir beliau bersama keluarga. Digelar dengan panggilan ‘Mek Uban’, beliau menceritakan bagaimana Cina Peranakan masih mengamalkan sifat kunjung-mengunjungi bagi merapatkan silaturahim antara ahli keluarga tidak kira dekat ataupun jauh.

“Cina Peranakan akan melawat keluarga mereka setahun sekali pada musim perayaan. Keluarga Mek misalnya akan datang melawat sungguhpun hubungan kekeluargaan kami cuma bau-bau bacang.

“Mek akan membuat giliran beraya di Kuala Lumpur dan juga Kelantan bagi menyambut bersama anak di bandar yang tidak dapat pulang ke Kelantan.

“Apabila Mek beraya di Kuala Lumpur di rumah anak, jiran sendiri pun tidak senyum dan mereka tidak datang ke rumah untuk beraya seperti kami di Kelantan,” Mek menggambarkan perbezaan itu ketika ditemubual FMT Ohsem baru-baru ini.

Mek Uban pada usia 74 tahun masih berdikari dengan berniaga di dalam pasar Machang sejak beliau muda dengan fizikalnya yang masih kuat.

Tambah beliau, masyarakat Melayu di kawasan sekitar Machang mengenalinya sejak dari dahulu lagi kerana selalu melihatnya di pasar dan semua orang termasuk pelanggannya akan menziarahi Mek pada hari Tahun Baru Cina.

“Bukan saing(kawan) Cina sahaja, Melayu pun ramai kerana kami semua rapat dah macam keluarga ketika di pasar.

“Rumah Mek kalau raya (Tahun Baru Cina) kedua, saya akan sediakan nasi dagang kepada semua tetamu. Setiap tahun Mek menempah nasi dagang dengan orang Melayu agar sahabat dan orang terdekat dapat menjamu selera sambil berborak dengan senang hati.

“Sukonya(Sukanya) dapat sambut di Kelantan, tidak serupa dengan tempat lain.

“Di Kelantan, semua pembeli Mek di pasar akan ucapkan selamat Tahun Baru Cina. Bertambah semangat nak sambut raya sambil tunggu anak cucu balik ke Kelantan, biasanya 2 hari sebelum perayaan,” katanya yang turut memberi limau kepada pelanggannya.

Tradisi keluarga Cina Peranakan masih utuh diamalkan kebanyakan keluarga di sini. Mereka berkumpul beramai-ramai, memasak bersama-sama, mengemas rumah dan meraikan perayaan secara besar-besaran.

“Dari situlah kita beri tunjuk ajar agar menghayati tradisi sampai bila-bila. Kami semua jarang makan besar di luar macam orang bandar, tetapi menjadikan amalan memasak bersama pada malam makan besar bersama anak dan cucu cicit.

“Anak-anak, cucu cicit dan suadara mara tahu Mek suka masak banyak makanan, jadi mereka akan ziarah Mek dari pagi hingga ke petang,” katanya.

Sementara itu, tokoh bahasa dan budaya, Dr. Lim Swee Tin yang juga salah seorang Cina Peranakan dari Kelantan akui budaya ziarah-menziarahi dan amalan berkumpul bersama sanak saudara dan jiran menjadi ikutan sejak zaman dahulu lagi.

“Pada hari pertama kami ada banyak pantang larang yang perlu dipatuhi misalnya tidak boleh menyapu rumah, jemur kain dan elak cawan dan gelas pecah.

“Selalunya kami akan beraya di rumah pada hari pertama dan kedua. Pada hari ketiga barulah keluar menziarahi sanak saudara dan semua sahabat yang sudah lama tidak ditemui,” kata beliau.

Jelasnya ramai masyarakat Melayu akan menziarahi keluarga beliau memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina.

Swee Tin berkata, masyarakat Melayu yang menziarahi keluarganya tidak pernah berasa was-was untuk menjamah makanan yang dihidangkan.

“Ini kerana kami akan menghidangkan makanan yang ditempah dari orang Melayu bagi mengelak rasa tidak selesa.

“Corak pemakanan Cina Peranakan pada sambutan tahun baru juga berbeza iaitu kami akan membuat sendiri kuih bakul yang dibuat dari pulut berwarna coklat dan dibungkus dengan daun pisang,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]