Masalah kulit selalu menghantui wanita tidak kira ia disebabkan faktor cuaca, makanan, gaya hidup, dan sebagainya.

Apabila berdepan jerawat, jeragat atau kesan-kesan bintikan dan pigmentasi, ia boleh menurunkan keyakinan atau harga diri seseorang termasuk lelaki. Jadi isu penjagaan kulit wajah sememangnya sentiasa dititikberat bukan hanya untuk penampilan diri tetapi kesihatan kulit yang optimum.

FMT Ohsem berkongsi beberapa tips mudah untuk membantu wanita atau sesiapa sahaja yang berdepan masalah kulit yang mungkin selama ini merunsingkan.

1. Kulit gelap dan kusam

Kulit kusam dan gelap disebabkan tompokan sel-sel kulit mati, kesan daripada metabolisme kulit yang kurang baik, proses penuaan serta pendedahan cahaya matahari.

Anda boleh mencuba krim yang mengandungi vitamin A selain menambahkan krim pemutih. Sebulan sekali tidak salah untuk manjakan wajah muka dengan rawatan “facial” bagi merangsang aliran darah yang lebih baik, membuang sel-sel kulit mati dan memperbaharui sel-sel kulit.
Amalkan penggunaan pelembap kulit setiap hari, sebaiknya dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum membeli dan menggunakan sesuatu produk. Amalkan tidur yang secukupnya supaya kulit kekal lembap dan tidak kusam.

2. Parut

Parut pada wajah muka pasti membuatkan anda rimas. Kesan bekas jerawat atau luka yang dalam dan ‘berkawah’ boleh mempengaruhi kecantikan wajah dan keterampilan seseorang.
Jerawat mengakibatkan masalah yang lebih besar, mendalam dan lambat sembuh. Bagi wanita, bekas jerawat berkawah akan membuat solekan menjadi tidak rata malah menyukarkan mereka merias wajah.

Pengasas DR Medispa & Wellness Reko Sentral Kajang, Dr Azirawaty Mohd Tadzi berkata, rawatan jarum mikro menerusi dermapen adalah salah satu kaedah peremajaan kulit untuk mengembalikan penampilan kulit sihat remaja dengan kesan sampingan yang minimum.
Katanya, ia memberi hasil yang sama seperti dermabrasion, laser dan pengelupasan kulit secara kimia, tetapi kurang invasif dan tidak membabitkan pemusnahan lapisan epidermis (lapisan kulit paling atas).

3. Pigmentasi

Sebenarnya pigmentasi tidak boleh dirawat walau secanggih mana sekalipun teknologi yang digunakan. Pigmentasi hanya boleh dikurangkan atau dihalang kemunculannya, kata Pakar Kulit, Dr. Koh Chuan Keng.
Dr. Koh yang juga Presiden Persatuan Dermatologi Malaysia berkata, pigmentasi terbentuk akibat aktiviti melasma berpunca daripada tindakan hormon yang merangsang sel melanin pada kulit.
Selain hormon, faktor genetik juga mempengaruhi masalah itu. Namun, ia boleh dikurangkan dengan menyapu krim atau losyen pelindung yang mempunyai SPF (sunblocks), UVB (menghalang punca pigmentasi) dan UVA.
Ramai masih keliru dengan cara krim pelindung bertindak. Anda sepatutnya menyapu krim setiap tiga jam sekali seandainya terdedah kepada pancaran matahari kerana ia mudah diserap oleh kulit. Kadar SPF paling tinggi hanya sehingga 50. Mereka yang berkulit lebih cerah patut memilih krim dengan SPF bacaan tinggi.

4. Pori-pori besar

Pori-pori yang besar pasti mengganggu keyakinan diri, namun jangan risau kerana rawatan mikrodermabrasi dapat membantu penyingkiran kulit mati.
Bagi mereka yang mempunyai kulit berminyak, elak menggunakan produk kecantikan berasaskan minyak.
Selain itu sentiasa cuci muka bagi ‘membuang’ minyak. Gunakan pelembap, keadaan itu boleh mengecilkan pori-pori kulit dan membantu menghidrat serta melembutkan kulit.
Ia juga membolehkan sebum menembusi lebih jauh ke dalam kulit, dan bukannya “berkampung” di permukaan kulit. Ingat…gunakan pelembap berasaskan air.

5. Lingkaran gelap bawah mata

Lingkaran gelap pada bahagian bawah mata berpunca kerana kurangnya pengaliran darah ke bahagian tersebut atau disebabkan timbunan lemak yang menyebabkan rongga mata menjadi lemah sehingga menyebab lapisan atas lemak menurun.

Jangan risau, anda boleh atasinya dengan hanya menggunakan serum untuk meningkatkan kadar regangan kulit di bahagian bawah mata.
Pada masa sama, faktor pemakanan juga boleh membantu mengatasi masalah tersebut, banyakkan mengambil sayur hijau dan air kosong yang amat baik untuk menjaga kesegaran mata.

6. Dagu berlapis

Mesti ada segelintir daripada anda yang mempunyai masalah dagu berlapis? Jangan risau, kerana ia antara masalah itu boleh diatasi dengan mudah jika anda mengamalkan praktis tertentu secara konsisten. Dagu berlapis disebabkan lapisan lemak yang menonjol di bawah dagu.
Ia boleh terjadi kepada semua orang, terutama pada orang yang berbadan besar.

Namun anda boleh mengatasinya, dengan melakukan urutan muka bertujuan membantu meningkatkan metabolisme kulit dan perjalanan darah.
Selain itu anda juga boleh gunakan ketulan ais dan tekapkan ke bawah dagu, amalkan setiap hari agar kulit bahagian muka lebih anjal selain melakukan senaman termasuk mengunyah gula-gula getah.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]