Pernahkah anda melihat si kecil meneran sehingga mukanya menjadi merah? Jika anak itu pandai berkata-kata, mereka bolehlah mengadu atau meluahkan rasa sakit yang dihadapinya tetapi bagaimana kalau si kecil yang masih belum mengerti apa-apa?

Fenomena sembelit dalam kalangan si kecil khususnya bayi sebenarnya berpunca daripada kesilapan ibu bapa sendiri yang tidak “pandai” menguruskan makanan dan minuman yang teratur kepada anak.

Akibat kesilapan ibu dan bapa yang tidak memberikan air atau susu secukupnya, anak pula yang menerima kesan.

Seorang ibu muda, Norul Haslizan Harun berkongsi pengalaman anaknya berdepan masalah sembelit dan panduan yang boleh membantu para ibu menyelesaikan masalah tersebut. Perkongsian itu dikongsi menerusi blog peribadinya, ummitiqah.com,

Menurut bekas eksekutif bank yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa, si kecil berdepan masalah sembelit akan kelihatan resah dan juga menangis di samping ada yang lebih suka menyendiri di 1 sudut ketika meneran.

Katanya, punca utama sembelit disebabkan susu formula yang tidak sesuai dengan sistem cerna bayi, selain kekurangan air dalam badan yang juga menyebabkan si kecil mengalami dehidrasi.

“Apabila kurang sumber air dari makanan dan minuman, tubuh akan menyerap air dari najis bagi mengelak dehidrasi teruk, jadi najis menjadi kering dan keras lalu tersimpan lebih lama dalam usus besar sekali gus menjadi punca sembelit,” katanya.

Dalam masa sama, sikap juga mempengaruhi berlakunya sembelit di mana bagi kanak-kanak berusia 4 atau 5 tahun, mereka suka berlengah untuk ke tandas kerana terlalu ralit bermain, menonton televisyen atau fokus dengan gajet. Ia boleh menyebabkan mereka “menahan” membuang air besar menyebabkan masalah sembelit.

“Bagi anak yang sedang dalam proses ‘potty training’, mereka kadang-kala mengalami tekanan atau sukar untuk menggunakan tandas. Akibatnya anak menjadi takut dan menahan diri untuk ke tandas,” ujar ibu beranak 3 itu.

Dalam masa sama, beliau turut berkongsi beberapa cara untuk mengatasi sembelit yang teruk;

1. Baringkan bayi dengan kaki ke atas dan gerakkan kakinya seperti sedang mengayuh basikal. Ini akan meransang pergerakan najis dalam usus.

2. Jika bayi yang menyusu formula, cuba tukar jenama susu. Anda mungkin perlu bertukar beberapa kali sehingga mendapat susu yang benar-benar sesuai dengan bayi.

3. Bagi bayi berumur 6 bulan ke atas, boleh diberi makan sayur dan buah tinggi serat, pastikan makanan itu dipurikan. Jus betik juga elok untuk mengatasi sembelit, selain tinggi kandungan serat, betik juga mengandungi bahan yang membantu pergerakan usus.

4. Beri anak minum air kosong sekerap mungkin tapi dalam kuantiti sedikit.
Kurangkan makanan penyebab sembelit seperti nasi, pisang dan lobak merah. Seimbangkan pengambilan makanan dan minuman.

Semoga panduan tersebut boleh membantu si kecil yang mengalami sembelit dan memudahkan tugas si ibu terutamanya bagi yang pertama kali menjadi ibu, selamat mencuba!

(Artikel ini dipetik dari blog ummitiqah.com dan menterjemah pandangan peribadi penulis)

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]