Cambridge International University dilabel ‘kilang diploma’

Kolej palsu yang menawarkan ijazah yang mengaut keuntungan biasanya menggunakan nama institusi dihormati seperti Cambridge University. (University of Cambridge pic)

PETALING JAYA: Sebuah portal yang menyediakan maklumat mengenai program pendidikan tinggi seluruh dunia, melabelkan Cambridge International University sebagai “kilang diploma”, gelaran yang diiktiraf Pusat Maklumat mengenai Kilang Diploma Amerika Syarikat (CIDM) bagi melabelkan universiti palsu.

Mastersportal.com, sekutu kepada Studyportals yang mempunyai penyertaan lebih 3,000 universiti di 113 negara dan yang menyediakan maklumat mengenai pendidikan tinggi di Eropah, menyebut statistik oleh perunding pendidikan berpusat di AS, World Education Services.

Menurut statistik tersebut, terdapat 2,615 “kilang diploma” di seluruh dunia pada 2017.

Portal itu juga menyenaraikan beberapa “isyarat amaran” yang boleh mengenal pasti “kilang diploma” daripada universiti tulen.

Ada antaranya, menurut statistik itu, kilang diploma itu dijaja dengan mengunakan nama institusi terkenal.

Nama “institusi” yang dikatakan menawarkan diploma dikaitkan dengan universiti terkenal seperti Columbia State University (berbanding yang tulen, iaitu Columbia University), Cambridge International University (yang tulen, Universiti of Cambridge) dan Trinity College and University (yang tulen, Trinity College).

Lain-lain taktik kolej yang menguruskan “kilang diploma” ini termasuk penggunaan alamat peti surat atau nombor bilik, bukan alamat sebenar dan panggilan telefon pula dihantar kepada “answering machine”.

Menurut portal itu, “kilang diploma” biasanya menawarkan ijazah jarak jauh melalui internet.

“Akreditasi didakwa datang dari negeri kepulauan kecil di kawasan Pasifik atau Caribbean (seperti Dt Kitts dan Nevis) atau negara seperti Liberia, di mana kerajaan mempunyai sedikit atau tiada kawalan langsung dalam pendidikan tinggi,” katanya.

Menurut portal tersebut, laman web “kilang diploma” ini tidak memberi maklumat terperinci mengenai fakulti, kakitangan universiti atau program pembelajaran.

“Diploma anda boleh disesuaikan dengan keperluan anda sendiri, boleh ditungguhkan dan boleh diberi gred purata serta keistimewaan mengikut pilihan anda,” katanya.