Hakim guna kuasa pindah kes untuk dengar 7 tuduhan terhadap Najib

Najib di Mahkamah Tinggi hari ini.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan Peguam Negara Tommy Thomas menarik balik sijilnya untuk memindahkan 7 pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak berkaitan SRC International.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menggunakan budi bicaranya bawah Seksyen 417(2) Kanun Tatacara Jenayah (CPC) untuk membawa balik pertuduhan daripada Mahkamah Sesyen untuk beliau mendengar kes-kes tersebut.

“Tujuh pertuduhan tersebut (didaftarkan di bawah 3 kes berbeza) akan dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk percepatkan keadilan,” katanya.

Nazlan juga membenarkan Thomas, yang menjadi pendakwaraya kes tersebut menarik balik 3 pertuduhan pemindahan wang secara haram terhadap bekas perdana menteri itu yang dibuat pada 28 Januari.

Beliau menolak permohonan pasukan peguam pembela untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan pada 12 Februari sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Nazlan berkata, pendakwaraya mempunyai budi bicara untuk menghentikan pendakwaan pada mana-mana peringkat perbicaraan tersebut.

“Saya memerintahkan supaya dilepas tanpa dibebaskan memandangkan pendakwaraya mempunyai kuasa untuk menarik balik (3) pertuduhan,” katanya.

Katanya, perbicaraan ke atas 7 pertuduhan itu perlu diteruskan di Mahkamah Tinggi kerana kes tersebut menarik perhatian di dalam dan luar negara.

“Juga ia tiada prejudis kepada yang dituduh,” katanya.

Katanya, 7 pertuduhan itu didaftarkan sejak Julai tahun lalu dan yang dituduh juga berdepan dengan 35 lagi pertuduhan yang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Nazlan berkata, tarikh perbicaraan 7 pertuduhan itu juga ditetapkan 6 bulan lalu.

Sebelum itu, Thomas memberitahu mahkmah beliau mengeluarkan sijil bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 418A CPC dan Seksyen 60 Akta Anti-Rasuah Malaysia.

Bagaimanapun, memandangkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya (2017) dan M Indira Gandhi (2018), beliau menarik balik sijil berkenaan untuk mengelak sebarang hujah bahawa pemindahan (dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi) telah batal.

Katanya, Nazlan boleh menggunakan budi bicara bawah Seksyen 417 CPC untuk memindahkan
kes-kes tersebut ke mahkamah itu.

“Ini akan jimatkan masa. Saya mengambil langkah ini untuk mengelak sebarang cabaran yang mungkin dibuat pada mana-mana peringkat yang boleh melewatkan atau membatalkan perbicaraan dan mengakibat perbelanjaan wang awam yang tidak perlu,” katanya.

Najib menghadapi 6 pertuduhan berkaitan pemindahan wang haram dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta ke akaun beliau daripada SRC International, bekas unit 1MDB.

Beliau juga dituduh menyalah guna kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan.