Katerer dipenjara 2 tahun kerana tipu projek buka puasa

KUALA LUMPUR: Seorang katerer dijatuhi hukuman penjara 2 tahun, denda RM5,000 dan 1 sebatan oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan menipu seorang peniaga pasar malam berhubung projek buka puasa di Masjid Khalid Al Walid, Kementerian Pertahanan membabitkan kerugian RM15,000 4 tahun lepas.

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhkan hukuman ke atas Kamarul Redzuan Roslan, 40, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 6 bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan tertuduh melalui peguam Mohd Shahril Madisa bagi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan sebatan sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dengan syarat wang jaminan terhadapnya ditambah daripada RM7,000 kepada RM9,000 berserta seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorellyna Hanim Abd Halim membantah permohonon penangguhan pelaksanaan hukuman itu manakala Mohd Shahril yang mewakili tertuduh pula memohon penangguhan pelaksanaan hukuman dengan alasan anak guamnya mengalami masalah kesihatan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu Zolkapeli Othman, 61, sehingga mendorongnya menyerahkan wang tunai sebanyak RM15,000 kepadanya kerana percaya tertuduh dianugerahkan projek buka puasa daripada Masjid Khalid Al Walid, Kementerian Pertahanan, yang mana beliau tidak akan membuat bayaran tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Perbuatan itu dilakukan di masjid itu, di Wangsa Maju, pada 29 Jun 2015.

Dakwaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 6 saksi manakala pembelaan mengemukakan tertuduh sebagai saksi tunggal.