Kementerian perlu garis panduan promosi produk swasta, kata pensyarah

KUALA LUMPUR: Sebarang bentuk promosi produk swasta daripada menteri atau kementerian seharusnya mempunyai garis panduan dan etika yang jelas, kata pensyarah undang-undang, Prof Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Bekas ketua kluster governan, perundangan, pengurusan awam di Majlis Profesor Negara berkata, promosi produk swasta oleh kementerian boleh menimbulkan percanggahan kepentingan antara menteri dengan syarikat perniagaan.

“Menteri tidak seharusnya terlibat dalam promosi sesuatu produk oleh sesebuah syarikat, kita takut wujud fitnah dan tohmahan mengenai rasuah atau pilih kasih.

“Untuk elak percanggahan kepentingan, jangan menabur janji kepada individu. Buat program khusus dan buka kepada semua syarikat yang berminat, jadi menteri boleh promosi produk ketika merasmikan program tersebut. Jadi bukan satu produk dipromosi tapi banyak produk lain,” katanya kepada FMT.

Nik Ahmad mengulas kontroversi promosi produk makanan melibatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan seorang usahawan baru-baru ini.

Beliau berkata menteri mungkin perlu menggunakan pendekatan yang lebih sesuai untuk membantu usahawan dan bukannya mempromosikan produk di akaun media sosial miliknya semata-mata.

“Usahawan dan peniaga asas aktivitinya adalah meraih keuntungan jadi kementerian boleh membantu projek amal atau program pembangunan khusus sebagai bentuk promosi produk.

“Namun kena beri peluang kepada semua pihak supaya tidak timbul isu pilih kasih,” kata Nik Ahmad.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB), Agil Faisal Ahmad Fadzil menolak pandangan Syed Saddiq menimbulkan percanggahan kepentingan.

Mengenai kontroversi baru-baru ini, Agil Faisal menyalahkan usahawan terbabit kerana cuba menggunakan kementerian untuk meningkatkan lagi perniagaannya.

“Ini bukan isu kronisme, Syed Saddiq hanya bertindak sebagai ‘influencer’, dia perkenalkan produk kepada rangkaian kedai runcit tetapi mereka perlu melepasi beberapa kriteria barulah layak dibantu.

“Kalau produknya tidak layak, mereka perlu gandakan usaha sampailah menteri nampak produk mereka, itu barulah dinamakan usahawan, tidak perlu rasa dengki dan memburuk-burukkan orang lain,” katanya.

Agil juga menganggap kerajaan wajar meneruskan usaha mempromosi produk tempatan tetapi pada masa yang sama, usahawan perlu kreatif dan tidak perlu terlalu bergantung kepada kerajaan.