Kerajaan tak akan promosi produk swasta, kata Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mempromosikan produk syarikat swasta, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail susulan kontroversi promosi produk makanan dan minuman melibatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan usahawan.

Timbalan perdana menteri berkata, semua kementerian, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hanya tumpu kepada mempromosikan produk kerajaan.

“Kerajaan kalau nak lonjakkan sesuatu produk, kita buat promosi untuk produk kementerian sahaja, kita tak buat untuk produk swasta.

“Tetapi Syed Saddiq, selaku menteri belia dan sukan, hanya nak bantu mempromosikan produk swasta,” katanya ketika menghadiri majlis perasmian sebuah taman asuhan untuk kanak-kanak kurang upaya milik Pertubuhan Kebajikan Islam hari ini.

Jika kementerian berminat untuk mempromosikan produk tempatan, mereka tidak boleh mengetengahkan satu produk sahaja sebaliknya perlu menyeluruh.

“Saya kalau pergi keluar negara, saya akan buat promosi produk kraftangan negara misalnya, tetapi ia perlu dilakukan secara menyeluruh,” kata Wan Azizah.

Beberapa hari kebelakangan ini media sosial dipenuhi dengan laporan dan reaksi orang ramai terhadap kritikan seorang usahawan terhadap Syed Saddiq berkenaan promosi produknya.