Kes RM90 juta: Ahli PAS kecewa tapi tak tinggalkan parti, kata penganalisis

Kamarul Zaman Yusoff berkata siasatan penerimaan dana politik juga perlu dibuat ke atas parti dan pemimpin PH untuk berlaku adil. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Tidak dinafikan terdapat ahli PAS yang kecewa susulan penarikan saman Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Sarawak Report berhubung tuduhan PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno.

Penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusoff bagaimanapun berkata, kekecewaan ahli PAS tidak mendorong mereka beramai-ramai meninggalkan parti itu dan menyertai Pakatan Harapan (PH), khususnya Amanah.

“Tidak ramai ahli PAS yang akan keluar parti untuk menyertai PH, khususnya Amanah, kerana majoriti ahli PAS telah tertanam dengan asuhan ‘wala’ dan taat kepada pucuk pimpinan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata, PAS berada dalam keadaan bertahan dalam menghadapi tekanan dengan dakwaan parti itu menerima dana daripada Umno, ditambah pula penyelesaian di luar mahkamah antara Hadi dan Sarawak Report tidak melibatkan penarikan semula artikel yang dilaporkan media antarabangsa itu, sebelum ini.

“Begitupun, terpulanglah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan PAS untuk menanganinya.

“Jika pucuk pimpinan PAS dapat membuktikan penyaluran dana ini tidak melibatkan wang dari sumber yang tidak betul dan digunakan untuk tujuan yang tidak menyalahi undang-undang, maka sudah tentu perkara ini tidak akan mendatangkan kesan,” katanya.

Kamarulzaman menambah, secara prinsipnya tidak menjadi kesalahan mana-mana parti politik menerima dana termasuk kerjasama Umno dan PAS demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Disebabkan telah ada laporan polis yang dibuat maka sekarang ini terpulanglah kepada PDRM dan SPRM untuk melakukan siasatan, dan jika siasatan mendapati wujud unsur-unsur rasuah barulah kesan yang lebih besar akan terpaksa dihadapi oleh PAS,” katanya.

Rentetan daripada penyelesaian luar mahkamah antara Hadi dan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung artikel yang mendedahkan dakwaan tersebut, banyak pihak menggesa SPRM melakukan siasatan.

SPRM sebelum ini mengesahkan menerima laporan berhubung RM90 juta disyaki dari 1MDB yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin PAS dan akan memanggil beberapa individu bagi tujuan siasatan.

Sementara itu, PAS sedia memberi kerjasama penuh dan menyerahkan semua dokumen kewangannya kepada SPRM.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata dokumen kewangan PAS akan membuktikan dakwaan tersebut tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata.

“PAS dengan ini memberi akujanji akan memberikan sepenuh kerjasama kepada SPRM…PAS juga memberi jaminan akan menyerahkan segala dokumen milik PAS, sekiranya diminta oleh SPRM untuk tujuan siasatan ini, termasuklah penyata akaun-akaun bank PAS Pusat,” katanya.

Kamarulzaman menambah, siasatan penerimaan dana politik juga perlu dibuat ke atas parti dan pemimpin dari PH untuk berlaku adil, bukan hanya mensasarkan kepada pihak pembangkang sahaja jika terdapat aduan.

“Perkara melibatkan PH tidak boleh disenyapkan atas alasan sebagai kerajaan memerintah. Jika ada laporan spesifik maka pastilah siasatan wajib dibuat juga,” katanya.

Parti komponen PH sebelum ini pernah didakwa menerima dana dari pihak luar termasuklah bantuan luar negara berdasarkan pengakuan Presiden International Republican Institute (IRI) Daniel Twinning dan dakwaan DAP menerima dana dari Israel.