Kolej Vokasional Keningau (KVK) terus melakar sejarah tersendiri di samping mengharumkan nama negara apabila meraih 4 pingat termasuk 1 emas pada pertandingan inovasi Pameran Teknologi, Inovasi dan Reka Cipta Harta Intelek Antarabangsa (IPITEX) di Bangkok, Thailand.

Pertandingan yang berakhir semalam itu menyaksikan KVK menang pingat emas bagi inovasi “Zombie Challenge Series” yang merupakan aktiviti pembelajaran menggunakan konsep gamifikasi yang digabungkan dengan tema ‘zombie’.

Perekanya Mohd Sirhajwan Idek yang juga ketua pasukan KVK ke pertandingan itu, berkata kejayaan tersebut menyusuli pencapaian cemerlang KVK tahun lepas yang menyaksikannya membawa pulang 7 pingat pada pertandingan inovasi di Korea Selatan dan Indonesia.

KVK diwakili 3 guru dan 4 pelajar yang menyertai 4 kategori pada pertandingan yang diadakan di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Bangkok bermula Sabtu lepas, katanya kepada Bernama.

Menurut Mohd Sirhajwan, KVK meraih pingat perak untuk makanan tradisional Kadazandusun ‘Bosou D’ Maliki’ yang dihasilkan oleh guru kulinari KVK Saumon Maliki bersama pelajarnya Allan Clement.

Katanya inovasi ketiga iaitu alat binaan “Mortar Spread of Wall Tiles” ciptaan pelajar bidang teknologi pembinaan Cyprean Fioren meraih pingat gangsa.

KVK turut memenangi pingat gangsa bagi inovasi keempat yang dipertandingkan iaitu produk bakeri “Bangcaroon” ciptaan guru bakeri Anita Md Yasin dan pelajarnya Mel C Jane serta Nurul Natasha.

Bangcaroon ialah ‘macaroon’ yang mengandungi bahan bahan tempatan Sabah iaitu buah bambangan, biji buah nangka dan kayu manis, jelas Mohd Sirhajwan.

KVK terletak kira-kira 105km dari Kota Kinabalu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]