Najib rayu keputusan peguam negara tarik balik sijil pindah kes

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan pendakwaraya menarik balik sijil bagi memindahkan 7 pertuduhan berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Peguam kepada bekas perdana menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata pihak pembelaan memfailkan notis rayuan petang tadi bersama-sama perakuan segera.

“Kami juga akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kami untuk menangguhkan perbicaraan pada Isnin. Kami telah meminta penangguhan, kami membuat permohonan kepada Hakim Mahkamah Tinggi tetapi tidak dibenarkan,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijadualkan bermula 12 Februari.

Shafee berkata demikian kepada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Kamardin Hashim, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah apabila kes didengar di hadapan panel 3 hakim.

Panel hari ini dijadualkan mendengar 3 rayuan berkaitan permohonan Najib bagi perintah larangan untuk menghalang media membincangkan merit kes jenayahnya, permohonan bagi mendapatkan beberapa dokumen dan pernyataan serta tindakannya mencabar pelantikan peguam Datuk Sulaiman Abdullah sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Ketiga-tiga permohonan itu ditolak oleh Nazlan.

Pagi tadi, Nazlan membenarkan permohonan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menarik balik sijil untuk memindahkan 7 kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya (2017) dan M Indira Gandhi (2018), yang menimbulkan keraguan berhubung kuasa oleh pendakwaraya untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Sebelum itu, Shafee memberitahu panel Mahkamah Rayuan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menarik balik sijil itu akan membatalkan keseluruhan prosiding kes.

“Keseluruhan prosiding itu boleh dipersoalkan,” katanya sambil menambah bahawa mahkamah sepatutnya mendengar rayuan berhubung sijil pemindahan terlebih dahulu sebelum mendengar ketiga-tiga rayuan tersebut.

Thomas menegaskan rayuan hari ini berkaitan dengan 3 rayuan dan tiada kaitan dengan rayuan berhubung sijil pemindahan.

“Rayuan hari ini tiada kaitan dengan keputusan yang dibuat pagi ini. Prosiding di Mahkamah Tinggi dari Julai tahun lepas sehingga hari ini adalah sah. Sebarang keputusan mempunyai kesan prospektif, ia tidak mempunyai kesan retrospektif,” katanya dan menambah bahawa dengan berbuat demikian, pihak pembelaan hanya mahu menangguhkan perbicaraan.

Peguam Harvinderjit Singh, yang juga mewakili Najib, berkata pembelaan tidak akan menggunakan rayuan semasa untuk penangguhan rayuan dan perbicaraan yang kemudian disoal Hakim Harmindar: “Adakah anda memohon penangguhan?

Peguam: “Ya, untuk 3 rayuan tetapi bukan perbicaraan.”

Mahkamah menetapkan 11 dan 12 Mac untuk mendengar ketiga-tiga rayuan itu.