Peguam Teresa keluar writ saman terhadap ketua Pemuda PAS Selangor

PETALING JAYA: Firma peguam mewakili Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim mengeluarkan writ saman terhadap Ketua Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Halim berhubung artikel yang didakwa memfitnah pemimpin DAP itu.

Tetuan SN Nair & Rakan-rakan menuntut bagi pihak Teresa beberapa jenis relif daripada Syarhan termasuk gantirugi am, gantirugi pampasan, gantirugi teruk, dan gantirugi teladan, dan injuksi menahan Syarhan mengucapkan, menulis atau menerbitkan artikel tersebut.

Dalam pernyataan tuntutan, peguam Teresa merujuk kepada 2 artikel yang dikatakan mengandungi perkataan fitnah, libel dan pembohongan.

Petikan “Ucapan YB Ustaz Khalil Benar: DAP Jangan Kurang Ajar” yang diterbitkan di Facebook peribadi Syarhan pada 19 Januari antara lain menuduh Teresa “dengan tegas menyatakan bangkangan terhadap Islam merupakan agama rasmi persekutuan.”

Petikan “Teresa Kok Tidak Setuju Islam Agama Rasmi Persekutuan” yang disiarkan di sebuah laman web pada 12 Januari pula antara lain menuduh Teresa Kok seorang rasis, serta “jelas anti kepada Bumiputera dan juga menolak Islam”.

Nair berkata penerbitan-penerbitan tersebut “telah memudaratkan harga diri” Teresa sebagai seorang menteri, wakil rakyat dan ahli politik di mata ahli dan penyokong DAP dan penduduk Parlimen Seputeh dan rakyat umumnya.

“Tindakan defendan menerbitkan penerbitan-penerbitan memfitnah tersebut jelas didorong oleh motif jahat, niat jahat, fakta yang seleweng yang mencadangkan salahlaku secara moral dan undang-undang di pihak plantif dan pada dasarnya dilakukan oleh defendan untuk mencapai publisiti murahan dan kepentingan politik.”

Nair juga berkata penerbitan-penerbitan tersebut “dirancang terlebih dahulu” untuk secara serius mencederakan reputasi dan karektor Teresa.

Writ saman ini menyusuli tindakan Syarhan mempertahankan kenyataannya terhadap Teresa, memberitahu pemimpin DAP itu untuk membawa tuntutan-tuntutannya ke mahkamah.

Dalam kenyataan 28 Januari lepas, Syarhan dengan tegas menyatakan “DAP adalah parti yang anti Islam dan termasuklah sebahagian pemimpinnya menunjukkan sikap yang jelas anti pada Islam”.

Teresa beberapa hari sebelum itu menuntut Syarhan membuat permohonan maaf dan pampasan RM30 juta atau berdepan tindakan undang-undang.

Sementara itu, Syarhan ketika dihubungi FMT mengesahkan pihaknya menerima writ saman tersebut menerusi email Pemuda PAS Selangor.

Katanya, perbincangan akan dibuat bersama peguamnya untuk tindakan lanjut.

“Saya dapat email dari peguam dia yang dihantar ke alamat email Pemuda PAS Selangor dan saya sudah serahkan pada peguam saya,” katanya.