Pejabat TPM nafi Wan Azizah dimasukkan ke hospital

KUALA LUMPUR: Pejabat Timbalan Perdana Menteri menegaskan catatan di laman Facebook mendakwa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dimasukkan ke hospital adalah palsu.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata gambar Dr Wan Azizah bersama Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang adalah gambar lama dan kapsyen “Selepas Azmin Ali dimasukkan ke hospital, tiba giliran Wan Azizah Ismail” adalah palsu.

“Timbalan perdana menteri merasmikan Tasputra Perkim pada pagi ini dan juga meluangkan masa berkomunikasi bersama pihak media di majlis itu,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Dr Wan Azizah juga bimbang dengan peningkatan catatan palsu di media sosial ketika ini, terutamanya mengenai kerajaan.

“Ini hanyalah usaha berniat jahat daripada pihak tidak bertanggungjawab yang berselindung di sebalik nama samaran untuk mewujudkan ketegangan dalam PH.

“Jangan mudah percaya semua yang anda baca di media sosial dan jangan kongsi apabila anda tidak pasti,” katanya.

Katanya, media sosial yang telah merubah cara masyarakat berkomunikasi telah menjadikan dunia tanpa sempadan, maka beliau menasihatkan agar setiap individu bertanggungjawab terhadap sebarang catatan yang disiarkan.