Pembalakan di Gerik: Putrajaya akan jumpa Orang Asli

Orang Asli Kampung Tasik Cunex di Gerik membuat sekatan di laluan masuk lori balak ( Gambar Peka)

PETALING JAYA: Putrajaya akan turun padang berjumpa pihak yang terlibat dalam kemelut membabitkan Orang Asli di Gerik dan Jabatan Perhutanan Perak, yang berpunca daripada aktiviti pembalakan di negeri itu.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memaklumkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy akan turun padang bagi mengadakan perjumpaan dengan pihak yang terlibat.

“Buat masa ini, Jakoa mencadangkan agar aktiviti pembalakan tersebut dapat ditangguh buat sementara waktu sehingga perjumpaan tersebut diadakan,” kata Presiden Jakoa, Ajis Sitin dalam satu kenyataan, hari ini,

Semalam, FMT melaporkan penduduk Orang Asli di Gerik, Perak mendakwa kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) menceroboh kawasan tanah adat mereka untuk aktiviti pembalakan sejak 18 Januari lalu.

Berang dengan tindakan itu, Orang Asli Kampung Tasik Cunex membuat sekatan dengan menutup laluan utama lori balak.

“Pada 31 Januari, wakil syarikat dan Jabatan Perhutanan Perak datang dan memberi amaran sambil memaklumkan akan meneruskan aktiviti pengeluaran kayu balak,” kata wakil penduduk.

Bagaimanapun Jabatan Perhutanan Perak nafi mereka mengugut Orang Asli Kampung Tasik Cunex di Gerik.

“Jabatan perhutanan tidak pernah memberi ugutan kepada Orang Asli di situ, sebaliknya hanya memberi penjelasan mengenai aktiviti pembalakan di situ,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Ajis mengakui aktiviti pembalakan sentiasa menghantui masyarakat Orang Asli sehingga menjadi masalah terbesar kepada kelompok itu.

Katanya, antara yang terjejas daripada aktiviti pembalakan adalah pencemaran air sungai dan kepupusan binatang buruan yang selama ini menjadi sumber utama makanan dan pendapatan Orang Asli.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pihaknya sangat prihatin terhadap kebajikan kelompok itu di seluruh negara.

“Pelbagai usaha dan kerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan dibuat bagi memastikan masyarakat Orang Asli mendapat kebajikan yang mencukupi.”