Putrajaya lanjut tempoh kutipan Tabung Harapan

Mewakili kerajaan merakam penghargaan kepada rakyat Malaysia yang memberikan sumbangan kepada THM

PETALING JAYA: Putrajaya melanjutkan tempoh pemberian sumbangan Tabung Harapan Malaysia (THM) selama 2 minggu lagi selepas ia berakhir pada 14 Januari 2019.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata sumbangan yang dibuat selepas tempoh tersebut tidak akan dikreditkan ke dalam akaun dan dipulangkan semula kepada penyumbang.

“Pihak kementerian dalam tindakan untuk membuat pelarasan penutupan akaun tersebut sebelum pengauditan dijalankan oleh Jabatan Audit Negara. Jumlah sumbangan ini akan digunakan untuk pembayaran hutang kerajaan persekutuan.

“Bagi memastikan pengurusan THM dibuat secara teratur dan berintegriti, satu Jawatankuasa Akaun yang dipengerusikan Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir, ketua setiausaha Perbendaharaan akan memutuskan penggunaan wang
THM mengikut tatacara yang termaktub di dalam Arahan Amanah Akaun THM,” katanya dalam satu kenyataan.

Awal Jun lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan THM untuk menerima derma rakyat bagi mengukuhkan kewangan kerajaan.

Penubuhan tabung itu dilakukan setelah melihat kesediaan rakyat untuk menderma kepada kerajaan bagi mengurangkan hutang negara yang didakwa berjumlah lebih RM1 trilion.

Setakat 14 Januari 2019, jumlah kutipan THM berjumlah RM202,716,775.10.