RM90 juta: Dokumen kewangan akan buktikan dakwaan dusta, kata PAS

Takiyuddin Hassan.

PETALING JAYA: PAS sedia menyerahkan semua dokumen kewangannya untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dakwaan RM90 juta disyaki daripada 1MDB dimasukkan ke akaun beberapa pemimpinnya.

Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan berkata dokumen kewangan akan membuktikan dakwaan tersebut tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata.

“PAS dengan ini memberi akujanji akan memberikan sepenuh kerjasama kepada SPRM…PAS juga memberi jaminan akan menyerahkan segala dokumen milik PAS, sekiranya diminta oleh SPRM untuk tujuan siasatan ini, termasuklah penyata akaun-akaun bank PAS Pusat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Takiyuddin percaya SPRM akan menjalankan siasatan secara profesional secara telus dan tanpa gentar atau pilih kasih, dan menyeru pihak yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan tersebut tampil membantu siasatan.

“Tampil untuk menamakan secara terperinci serta memberikan butiran lanjut mereka yang dikatakan menerima wang tersebut kepada pihak berkuasa supaya siasatan lanjut dapat dibuat,” katanya.

SPRM hari ini mengesahkan menerima laporan berhubung RM90 juta disyaki dari 1MDB yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin PAS.

Perkembangan ini menyusuli penyelesaian luar mahkamah antara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung artikel yang mendedahkan dakwaan tersebut.

Sebelum ini, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dituduh di mahkamah dalam kes-kes berkaitan 1MDB nafi pernah membayar RM90 juta kepada pemimpin PAS.

Beliau mengingatkan pihak berkuasa sudah membuat siasatan yang sangat teliti terhadap akaun-akaun peribadinya dan Umno sejak pilihan raya umum ke-14.